KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan China 5-4 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Ismailia, Mesir, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara di belakang Pakistan yang terdahulu menewaskan Austria 4-2.
Anak buah Sarjit Singh memulakan aksi dengan cemerlang apabila Mohd Fitri Saari membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti.
China bagaimanapun menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil gerakan padang Wang Yaqi sebelum Zhao Yulai meletakkan pasukannya di hadapan menerusi penalti strok pada minit ke-16.
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kemudian menyamakan kedudukan 2-2 buat Malaysia apabila berhasil menjaringkan gol ketika berbaki dua minit sebelum suku kedua berakhir.
Memasuki suku ketiga, Speedy Tigers menggandakan asakan dengan tiga lagi jaringan masing-masing oleh Faiz Helmi Jali pada minit ke-36, Mohd Fitri (43’) dan Faizal Saari (47’).
China cuba bangkit menerusi dua gol lewat jaringan Zhao Yulai dan Chen Benhai, namun tidak cukup untuk menghalang kemenangan Malaysia.
Malaysia dijadual bertemu England 12.45 tengah malam Sabtu (waktu Malaysia) pada aksi separuh akhir.
Tiga pasukan terbaik keseluruhan daripada kempen kelayakan kali ini akan mendapat slot automatik ke Piala Dunia 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial