AM

Keahlian Belia Bawah 30 Tahun Dalam Persatuan Berkurang 45 Peratus

05/03/2026 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Jumlah keahlian belia berumur bawah 30 tahun dalam persatuan berkurangan kepada 544,940 orang setakat 28 Feb lepas, iaitu penurunan 45 peratus berikutan penguatkuasaan had umur baharu menerusi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata penurunan itu berlaku kerana individu berumur 30 hingga 40 tahun tidak lagi dikategorikan sebagai belia dan tidak boleh menjadi ahli biasa dalam pertubuhan belia.

Beliau berkata berdasarkan rekod Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), jumlah keahlian sebelum tarikh penguatkuasaan pindaan had umur ialah 991,729 orang.

“Walaupun berlaku penyusutan jumlah keahlian, pelaksanaan dasar ini menunjukkan beberapa kesan positif terhadap struktur dan kelangsungan pertubuhan belia.

"Ia membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk memimpin, mengurangkan dominasi golongan berusia serta mempercepat proses pembaharuan dan penyegaran kepimpinan belia," katanya menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Nik Mohamad Abduh ingin tahu status terkini pelaksanaan dasar penurunan had umur belia kepada 30 tahun yang berkuat kuasa 1 Jan, serta impak sebenar dasar ini terhadap jumlah keahlian dan kelangsungan persatuan belia, khususnya di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah.

Pindaan akta berkenaan menyaksikan had umur belia diturunkan kepada 15 tahun hingga sebelum mencapai umur 30 tahun, manakala had umur ketua pertubuhan belia atau pemegang jawatan ditetapkan antara 18 tahun hingga sebelum mencapai umur 30 tahun, dengan tempoh memegang jawatan dihadkan kepada empat tahun sahaja.

Mordi berkata menerusi pindaan akta tersebut, pelaksanaan dasar dan program menjadi lebih tersasar kepada keperluan belia sebenar dan pertubuhan menjadi lebih dinamik serta relevan dengan cabaran semasa.

Menurut Mordi, bagi menggalakkan penubuhan pertubuhan belia baharu, khususnya di komuniti luar bandar atau berpendapatan rendah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menepikan fi pendaftaran dan pindaan perlembagaan pertubuhan belia hingga 31 Dis 2027.

Selain itu, KBS melalui ROY turut melaksanakan program pematuhan seperti Program Santuni Pertubuhan Belia, Bengkel Pemantapan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) dan Bengkel Akta 668 bagi memastikan kelangsungan pertubuhan belia selaras penguatkuasaan Akta A1602.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan