EKONOMI

MATRADE Ambil Langkah Mitigasi Lindung Eksport Malaysia Semasa Konflik Asia Barat

05/03/2026 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan konflik geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.

Menurutnya langkah ini dilaksanakan menerusi pengaktifan rangka kerja mitigasi yang menyeluruh untuk membantu pengeksport Malaysia berdepan sekatan maritim, kos logistik yang melonjak serta gangguan rantaian bekalan.

Katanya langkah ini diambil susulan peningkatan konflik ketenteraan melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) sejak 28 Februari lepas.

MATRADE memaklumkan telah mengedarkan satu kaji selidik khusus kepada pengeksport Malaysia untuk menilai implikasi langsung konflik itu terhadap operasi perniagaan mereka.

Keputusan awal kaji selidik itu yang melibatkan 53.7 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat peringkat pertengahan (32.7 peratus) dan syarikat multinasional (13.6 peratus), memperlihatkan gambaran penting mengenai keadaan industri.

Menurutnya, sebanyak 63.9 peratus syarikat menjangka konflik yang berterusan itu akan menjejaskan operasi terutama disebabkan kelewatan penghantaran serta peningkatan kos pengangkutan laut dan insurans.

Perniagaan juga menjangkakan jualan menyusut, pesanan dibatalkan dan peningkatan mendadak harga bahan mentah terutama bahan berasaskan plastik yang berkait rapat dengan minyak mentah.

Sementara itu, sebanyak 39.1 peratus responden memaklumkan sedang mengeksport ke rantau itu terutama ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, dengan banyak pihak mempertimbangkan untuk mempelbagaikan pasaran lain bagi mengurangkan risiko akibat konflik berkenaan.

Bagi membantu pengeksport Malaysia menangani cabaran itu, MATRADE menggalakkan pengeksport untuk mempelbagaikan laluan logistik dan mengubah laluan penghantaran ke pelabuhan lebih selamat di rantau ini termasuk Pelabuhan Fujairah di UAE dan Pelabuhan Salalah di Oman serta menggunakan pengangkutan darat sekiranya sesuai.

MATRADE juga sedang mempercepat usaha untuk membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran yang kurang terjejas seperti Asia Selatan, Amerika Latin dan Afrika di samping memperkukuh perdagangan dalam kalangan negara ASEAN.

Bagi mengekalkan aktiviti perdagangan, agensi itu akan mempergiat pemadanan perniagaan digital melalui sesi “Virtual eBizMatch” bagi menggantikan misi perdagangan fizikal di kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, MATRADE turut bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memudahkan akses kepada pakej insurans bagi pengeksport yang terjejas disebabkan kargo tidak dapat dihantar ke destinasi atau bayaran premium insurans yang lebih tinggi kerana risiko perang.

Agensi itu juga memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia, termasuk Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk membantu pengeksport mendapatkan akses yang lebih baik ke pasaran yang stabil serta menikmati kadar tarif keutamaan.

Pada masa sama, MATRADE turut mengukuhkan integrasi perdagangan intra-ASEAN bagi membantu pengeksport mengubah penghantaran daripada laluan Timur Tengah yang terjejas serta mengurangkan kos logistik dan kelewatan yang semakin meningkat.

"Kami membolehkan pengeksport Malaysia untuk mengubah aliran perdagangan ke pasaran yang berdekatan secara geografi dan stabil dari segi ekonomi.

“Langkah strategik ini bukan sahaja mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan geopolitik malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau di Asia Tenggara,” kata Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau turut menegaskan bahawa agensi itu bukan sekadar memantau krisis itu malah giat mengalihkan laluan perdagangan, mengurangkan risiko eksport serta memperkukuh inisiatif kepelbagaian negara bagi melindungi daya tahan perdagangan Malaysia dalam jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata keutamaan pihaknya adalah mengurangkan kesan sekatan daripada dua pihak yang menjejaskan kargo Malaysia dengan menggunakan wakil tempatan di Asia Barat untuk menangani masalah logistik dengan segera.

“Walaupun kami menjangkakan tekanan dalam operasi, kami sedang mengukuhkan Malaysia sebagai pembekal alternatif yang boleh dipercayai dalam kalangan rakan dagang yang berhasrat mempelbagaikan sumber mereka daripada risiko serantau,” katanya.

Menurutnya pihaknya terus komited untuk melindungi kepentingan perdagangan Malaysia serta menyokong syarikat pengeksport sepanjang tempoh yang mencabar ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan