KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Subsidi RON95 berkurang kepada RM1.8 bilion pada suku keempat 2025, berbanding RM3 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2024, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut MOF, ia menunjukkan penjimatan sekitar RM1.2 bilion susulan pelaksanaan penyasaran subsidi melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan penurunan harga pasaran minyak.
“Penjimatan ini terhasil berikutan kejayaan mengurangkan ketirisan subsidi, termasuk pembelian oleh bukan warganegara dan aktiviti penyeludupan.
“Kerajaan menghargai keprihatinan rakyat yang menyalurkan maklumat berkaitan cubaan penyalahgunaan subsidi RON95, yang turut membantu memastikan subsidi dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.
MOF berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan mengenai jumlah penjimatan tahunan kerajaan hasil daripada rasionalisasi subsidi bahan api RON95 sejak pelaksanaannya serta unjuran penjimatan bagi 2026.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai penilaian semasa kerajaan terhadap penggunaan MyKad di stesen minyak serta implikasinya terhadap penambahbaikan penyasaran subsidi bahan api, MOF berkata setakat ini, sistem itu didapati beroperasi secara stabil dan lancar.
Katanya, secara amnya, tiada isu besar dilaporkan melibatkan pengguna, termasuk isu pengguna terpaksa menunggu lama atau beratur panjang di stesen minyak untuk mendapatkan petrol bersubsidi.
“Keberkesanan penggunaan MyKad ini turut disokong oleh pengalaman pelaksanaan program bantuan lain kerajaan, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang merekodkan kadar penggunaan 99 peratus yang juga menggunakan mekanisme pengesahan MyKad,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial