AM

Nekbat Kekal Jadi Pilihan Ramai Pada Ramadan

06/03/2026 11:21 AM

Oleh Mohd Zaid Mohd Noor

DUNGUN, 6 Mac (Bernama) -- Kuih tradisional ikonik Pantai Timur, nekbat terus menjadi pilihan ramai sebagai juadah berbuka puasa dalam kalangan masyarakat di Terengganu dan Kelantan setiap kali Ramadan.

Walaupun berdepan perubahan zaman dan kemunculan pelbagai jenis kuih moden, nekbat yang bentuknya seakan-akan kuih baulu tetap mendapat tempat di hati masyarakat kerana rasanya yang unik selain nilai tradisi yang diwarisi turun-temurun.

Seorang pengusaha nekbat Noor Aini Salleh, 43, berkata pada Ramadan tahun ini dia menerima tempahan kira-kira 120,000 biji kuih itu daripada peniaga serta penggemar termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis.

 “Saya mula menerima tempahan kira-kira dua minggu sebelum Ramadan sehingga tidak menang tangan menghasilkan antara 4,000 hingga 5,000 biji nekbat sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya di Rantau Abang dekat sini hari ini.

 Noor Aini berkata dia mula menceburi perniagaan nekbat pada 2019 dengan hanya menghasilkan kuih itu sepanjang Ramadan, manakala pada bulan lain mengikut tempahan bagi majlis tertentu.

“Sepanjang Ramadan, rutin membuat nekbat bermula dari 4 petang hingga 10 malam setiap hari bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya yang dibantu dua anak, Sharifah Nur Safiyah Syed Shahruddin, 17 dan Nur Arrabella Marissa, 18, dalam menyiapkan tempahan.

Noor Aini berkata proses pembuatan nekbat kini lebih mudah dengan bantuan ketuhar berbanding kaedah tradisional menggunakan acuan tembaga dan bara sabut kelapa.

Setakat ini tiga jenis nekbat telah dihasilkan iaitu nekbat tepung gandum yang dijual pada harga RM38 bagi 100 biji manakala nekbat tepung beras serta nekbat tepung gandum berperisa pandan pada harga RM40 dalam jumlah sama.

 “Bagaimanapun terdapat peniaga yang menjual semula kuih tradisional itu di pasaran pada harga RM1 sebiji,” katanya menambah nekbat tepung gandum berperisa pandan adalah inovasi yang diperkenalkan bagi menarik minat golongan muda untuk menikmati kuih tradisional itu.

Menurut Noor Aini, dia mempelajari pembuatan kuih dikatakan berasal dari istana itu daripada ibu rakannya dikenali sebagai “Ummi” yang juga seorang pengusaha nekbat terkenal di Dungun.

Pada bulan selain Ramadan, dia menumpukan menghasilkan kuih samosa sebagai sumber pendapatan keluarga.

Noor Aini berharap kuih tradisional seperti nekbat akan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat agar warisan makanan Pantai Timur tidak lapuk ditelan zaman.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan