KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Seorang warga Bangladesh yang menetap di Malaysia telah diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian berskala besar, hasil kerjasama antara pihak berkuasa kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan pada Khamis (5 Mac), Pejabat Peguam Amerika Syarikat bagi Daerah Alaska memaklumkan bahawa Zobaidul Amin, 28, telah dipindahkan dari Malaysia ke Alaska oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 4 Mac selepas pihak berkuasa Malaysia memudah cara proses berkenaan.
Pejabat itu menyatakan Amin telah dibawa untuk prosiding pertama di Mahkamah Daerah Alaska, AS pada Khamis.
Pengarah FBI, Kashyap Pramod Patel turut menyampaikan penghargaannya kepada Kerajaan Malaysia menerusi akaun X beliau.
"Terima kasih kepada LEGAT (Atase Undang-undang) Kuala Lumpur, Kerajaan Malaysia, dan rakan kongsi tempatan kami yang hebat di seluruh negara yang telah membantu dalam siasatan dan penahanan ini."
Menurut dokumen mahkamah, Amin menetap di Malaysia dan sedang menuntut di sebuah kolej perubatan sebelum ditahan.
Pihak berkuasa AS berkata agensi penguatkuasaan Malaysia telah bekerjasama rapat dengan FBI dan Jabatan Keadilan AS sejak September 2022 sebagai sebahagian daripada siasatan itu.
Dalam tempoh berkenaan, Jabatan Peguam Negara Malaysia telah mendakwa Amin dengan 13 pertuduhan berkaitan pemilikan dan penghasilan pornografi kanak-kanak.
Peguam AS bagi Daerah Alaska, Michael J. Heyman berkata pemindahan suspek mencerminkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa yang kukuh.
"Impak kes ini adalah pada skala antarabangsa. Ia merupakan antara kes dakwaan eksploitasi kanak-kanak dalam talian yang paling prolifik pernah dilihat oleh Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan itu.
Heyman turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaannya atas kerjasama bagi memastikan pemindahan Amin ke Amerika Syarikat dapat dilaksanakan.
Dokumen mahkamah mendakwa Amin menggunakan platform media sosial termasuk Instagram dan Snapchat untuk mengenal pasti serta memaksa mangsa bawah umur menghasilkan imej dan video seksual yang jelas.
Pihak berkuasa berkata aktiviti yang didakwa itu melibatkan ratusan mangsa bawah umur di Alaska, kawasan lain di Amerika Syarikat serta di luar negara.
Amin berdepan pelbagai pertuduhan termasuk konspirasi menghasilkan pornografi kanak-kanak, konspirasi menerima dan mengedar pornografi kanak-kanak, perusahaan eksploitasi kanak-kanak, penghendapan siber, kecurian identiti yang teruk serta penipuan wayar.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara antara 20 tahun sehingga seumur hidup.
Kali pertama Amin ditahan di Malaysia pada 19 September 2022 susulan siasatan bersama melibatkan FBI dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dia kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas beberapa kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, termasuk menghasilkan dan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Amin, yang ketika itu merupakan pelajar perubatan warga Bangladesh berusia 24 tahun di sebuah universiti swasta, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit yang melibatkan dakwaan penghasilan imej dan video lucah melalui aplikasi Snapchat serta pemilikan ratusan fail digital yang ditemukan pada peranti elektronik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial