EKONOMI

Ekonomi Malaysia Raih Manfaat Daripada Integrasi ASEAN, Kukuhkan Ketahanan Serantau

06/03/2026 09:31 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Integrasi ASEAN telah memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, meningkatkan ketersambungan rantaian bekalan dan menambah baik pelaburan rantau ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata integrasi ASEAN membantu memperkukuh peranan Malaysia dalam pembuatan dan rantaian bekalan serantau dengan lebih separuh daripada eksport negara dikaitkan dengan rantaian nilai global (GVC).

“Kami melihat perdagangan barangan perantaraan yang ketara mencerminkan saling melengkapi dan juga pengeluaran bersama di Asia dalam kalangan negara ASEAN. Justeri, di sinilah ekonomi Malaysia dan ASEAN saling menyokong dan memberikan input,” katanya semasa sesi panel di Persidangan Asia 2050 di Bangkok, Thailand anjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini.

Beliau berucap pada sesi bertajuk: “ASEAN: Cabaran dan Peluang.”

Antara yang hadir dalam sesi tersebut ialah Bekas Gabenor Bank of Thailand, Sethaput Suthiwartnarueput, Sarjana Pelawat di Harvard Center for International Development, Chatib Basri dan Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dong He.

Abdul Rasheed juga berkata perdagangan intra-ASEAN kekal rendah, iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah perdagangan rantau ini berbanding kira-kira 60 peratus dalam Kesatuan Eropah (EU).

“Walaupun kecil, sekurang-kurangnya ia menyediakan pasaran yang stabil dan besar untuk kita. Memandangkan saiz penduduk di rantau ASEAN itu sendiri yang menyediakan pasaran baik untuk kita, selain itu terdapat prospek dan bidang di mana rantau ini boleh maju ke depan,” katanya.

Beliau berkata Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) memberikan manfaat untuk mengurangkan kos perdagangan dan meningkatkan kepelbagaian eksport merentasi ekonomi anggota.

Malaysia mendapat manfaat daripada kebangkitan ASEAN sebagai destinasi pelaburan terutamanya sebagai hab pengeluaran global, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini meningkat kira-kira lapan peratus pada tahun 2024, walaupun FDI global merosot sekitar 11 peratus, katanya.

Menjelang masa depan, Abdul Rasheed berkata ASEAN harus terus memperkukuh ketersambungan digital dan kewangan untuk menyokong integrasi ekonomi yang lebih menyeluruh, termasuk memperluaskan hubungan pembayaran rentas sempadan.

Beliau berkata ketersambungan pembayaran QR merentasi beberapa negara ASEAN telah membolehkan pelancong dan perniagaan melakukan urus niaga rentas sempadan menggunakan aplikasi perbankan sedia ada, selain daripada membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyertai perdagangan serantau dengan lebih mudah.

Abdul Rasheed berkata ASEAN perlu memperkukuh dan meningkatkan ketersambungan pembayaran serantau dengan beralih daripada pengaturan pembayaran dua hala kepada pengaturan pelbagai hala menerusi inisiatif seperti Project Nexus.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan