AM

Alam Flora Promosi Amalan "Tapau Elak Sisa", Agih 2,000 Bubur Lambuk

06/03/2026 09:38 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengagihkan sebanyak 2,000 pek bubur lambuk dalam bekas makanan guna semula dan mangkuk tingkat kepada pengunjung Bazar Ramadan Presint 3 di sini, bagi menggalakkan amalan pengurangan sisa sepanjang bulan Ramadan.

Inisiatif menerusi kempen “Tapau Elak Sisa” itu dilaksanakan di bawah program Kongsi Rezeki Alam Flora bertujuan mengurangkan penggunaan pembungkusan sekali guna yang lazimnya meningkat sepanjang musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata penggunaan bekas makanan guna semula merupakan langkah praktikal dan berkesan bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan.

“Sepanjang Ramadan, peningkatan aktiviti jual beli makanan sering menyumbang kepada pertambahan sisa pembungkusan. Melalui kempen Tapau Elak Sisa, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan mangkuk tingkat.

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shariman Yusuf berkata amalan membawa bekas makanan sendiri juga dapat membantu mengelakkan pembelian makanan secara berlebihan yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran makanan serta peningkatan sisa pepejal.

“Perubahan kecil dalam tabiat harian mampu memberi impak besar kepada alam sekitar. Jika amalan ini dapat dibudayakan secara konsisten, ia akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya.

Inisiatif berkenaan juga sebahagian daripada aspirasi Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff Corporation Bhd yang memberi tumpuan kepada pengurusan alam sekitar dan penyelesaian mampan untuk masyarakat serta alam sekitar.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan