AM

Kemudahan Pembayaran Zakat Sah Dan Selamat Di Aplikasi AEON Bank Dengan Kerjasama Tulus Digital

06/03/2026 10:07 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- AEON Bank, bank digital Islamik pertama di Malaysia, kini memperkenalkan kemudahan pembayaran zakat di aplikasi perbankan digitalnya bagi memudahkan pelanggan Islam menunaikan kewajipan pembayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan.

Ciri pembayaran Zakat ini direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Tulus Digital, platform teknologi kewangan (fintech) sosial Islamik yang dilantik sebagai ejen bertauliah kutipan zakat bagi pihak institusi zakat negeri termasuk Pusat Pungutan Zakat MAIWP dan Lembaga Zakat Selangor.

Kerjasama ini menawarkan penyelesaian digital menyeluruh yang sah dan selamat, sekali gus membolehkan pembayaran zakat dilakukan terus di hujung jari pelanggan melalui telefon pintar mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata: “AEON Bank percaya bahawa perbankan digital seharusnya melangkaui fungsi pengurusan kewangan, dan turut menyokong gaya hidup serta nilai murni yang dipegang oleh pelanggan kami.

“Dengan mengintegrasikan ciri pembayaran zakat di aplikasi AEON Bank, inisiatif ini memperkukuh usaha kami dalam melaksanakan amanah untuk memudahkan pelanggan melakukan kewajipan agama tanpa rumit. Kerjasama dengan Tulus Digital mencerminkan komitmen kami untuk menggabungkan teknologi yang beretika selari dengan tuntutan di bulan Ramadan, justeru memudahkan pelanggan menunaikan amal ibadah dengan lebih tenang, sementara kami kendalikan aspek teknikal”.

 

Kenapa Pembayaran Zakat di Aplikasi AEON Bank Lebih Mudah dan Sah 

Kemudahan di hujung jari: Tidak perlu beratur atau ke kaunter fizikal. Bayar di mana-mana, pada bila-bila masa hanya dengan beberapa langkah mudah.

Pilihan zakat yang komprehensif: Merangkumi 11 jenis zakat, termasuk zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat emas dan zakat KWSP, dan banyak lagi.

Dijamin patuh syariah: Setiap transaksi diselaraskan dengan lafaz akad secara digital bagi memastikan zakat anda ditunaikan mengikut tuntutan syariah yang sah.

Rekod pembayaran automatik: Resit pembayaran diterima dalam aplikasi AEON Bank dan notifikasi rasmi daripada Tulus Digital. Resit rasmi pengecualian cukai daripada institusi zakat negeri boleh diakses melalui portal rasmi mereka.

Pengarah Komersial Tulus Digital Ubaida Othman berkata: “Fokus utama kami adalah untuk menyediakan penyelesaian kewangan sosial dan pembayaran digital yang selamat serta berlandaskan syariah. Tulus Digital menyediakan penyelesaian pembayaran melalui integrasi API dan aplikasi mudah alih terus ke dalam akaun bank institusi, bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa zakat negeri, rakan korporat, dan institusi kewangan di seluruh Malaysia.

“Melalui kerjasama strategik dengan AEON Bank, kami komited untuk memperkukuh ekonomi digital kewangan Islam negara dengan menggabungkan teknologi beretika, tadbir urus syariah dan inovasi kewangan yang bermatlamat.”

 

Bayar Zakat dengan 4 Langkah Mudah

Langkah 1: Log masuk ke aplikasi AEON Bank

Muat turun aplikasi AEON Bank dan aktifkan Akaun Simpanan-i.

Langkah 2: Pilih ikon ‘Zakat’ pada skrin Utama

Klik ikon ‘Zakat’, kemudian pilih agensi zakat bertauliah serta jenis zakat yang ingin ditunaikan.

Langkah 3: Masukkan maklumat yang diperlukan

Lengkapkan butiran pembayaran, termasuk bilangan tanggungan atau kategori beras yang dipilih (untuk zakat fitrah sahaja).

Langkah 4: Sahkan dan selesaikan pembayaran

Semak butiran, klik ‘Terma & Syarat’ serta ‘Aqad’, kemudian sahkan transaksi melalui aplikasi AEON Bank  untuk melengkapkan pembayaran zakat anda.

Selepas pembayaran berjaya, pelanggan akan menerima resit pembayaran zakat melalui aplikasi AEON Bank, notifikasi pembayaran zakat daripada Tulus Digital dihantar ke alamat e-mel berdaftar dan resit rasmi zakat yang dikeluarkan oleh agensi zakat yang berkaitan, boleh diakses melalui laman sesawang agensi tersebut.

Ciri pembayaran zakat ini pastinya mengukuhkan lagi rangkaian perkhidmatan utiliti digital AEON Bank dengan mengintegrasikan keperluan kewangan dan kewajipan hukum syariah dalam satu platform digital yang selamat dan dipercayai.

Kemudahan ini juga melancarkan pembayaran zakat kepada Lembaga Zakat Selangor dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP. AEON Bank secara berperingkat akan memperluaskan lagi kemudahan ini kepada institusi zakat negeri lain dalam masa terdekat, selaras dengan inisiatif dan komitmen untuk memperluas akses kepada penyelesaian kewangan digital yang diyakini serta berteraskan tadbir urus syariah.

Klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai ciri pembayaran zakat serta muat turun aplikasi AEON Bank bagi membuat pembayaran zakat fitrah pada Ramadan ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan