AM

Retort Ganti Peti Sejuk, Corak Simpanan Makanan Kian Berubah

07/03/2026 03:05 PM

Oleh Shanika Abdullatib

MELAKA, 7 Mac (Bernama) -- Teknologi pemprosesan makanan retort kini semakin mendapat tempat dalam industri makanan tempatan apabila kaedah tersebut dilihat mampu mengubah landskap penyimpanan dan pengedaran produk, yang sebelum ini banyak bergantung kepada sistem sejuk beku.

Peralihan itu berlaku secara beransur-ansur dalam kalangan pengusaha makanan terutama selepas pandemik COVID-19 apabila ramai peniaga mula mencari alternatif penyimpanan yang lebih fleksibel, tahan lama dan tidak memerlukan rantaian sejuk yang kompleks.

Perkembangan berkenaan sekali gus membuka ruang baharu kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk memasarkan produk secara lebih meluas tanpa kekangan logistik yang tinggi.

Pengarah MdS Food Industry Md Shukor Johari berkata teknologi retort membolehkan makanan diproses pada suhu dan tekanan tinggi sebelum dimeterai dalam pembungkusan khas bagi memastikan produk kekal selamat serta tahan lama pada suhu bilik.

Beliau berkata berbanding kaedah sejuk beku yang memerlukan penyimpanan dan penghantaran menggunakan sistem suhu terkawal, makanan retort boleh disimpan hingga dua tahun tanpa perlu bergantung kepada kemudahan berkenaan.

“Keadaan ini memberikan kelebihan dari sudut kos logistik kerana pengusaha tidak perlu menanggung perbelanjaan tambahan bagi penyimpanan dan penghantaran berasaskan rantaian sejuk,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun kos awal bagi memiliki mesin retort boleh mencecah puluhan, malah ratusan ribu ringgit, permintaan terhadap teknologi itu semakin meningkat kerana pengusaha melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang.

Perubahan corak kehidupan masyarakat yang semakin sibuk turut menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap makanan yang mudah disediakan dan tahan lama.

“Produk retort menawarkan kemudahan kepada pengguna kerana boleh disimpan pada suhu bilik dan hanya perlu dipanaskan sebelum dimakan,” katanya.

Md Shukor berkata penerimaan pengguna terhadap makanan retort juga semakin memberangsangkan termasuk bagi produk asas seperti nasi putih yang diproses menggunakan teknologi berkenaan.

“Bayangkan nasi putih yang diretort pun mendapat sambutan dan pernah mencecah 70,000 pek pengeluaran kerana pengguna melihatnya sebagai makanan praktikal, terutama untuk kegunaan kecemasan, pelajar atau individu yang sibuk,” katanya yang menjelaskan perkhidmatan dan produk retortnya kini telah mendapat perhatian Mardi dan Fama.

Beliau berkata walaupun pada peringkat awal terdapat persepsi bahawa pemprosesan retort boleh menjejaskan kandungan nutrisi makanan, pakar industri menjelaskan perubahan terhadap kandungan zat adalah minimum sekiranya proses dijalankan mengikut piawaian keselamatan makanan.

Mengulas mengenai ketahanan produk retort, Md Shukor berkata jangka hayat sesuatu produk bergantung kepada jenis ramuan serta teknik pemprosesan yang digunakan.

"Antara teknik yang digunakan termasuk rendaman, semburan atau kukusan pada suhu kira-kira 121 darjah Celsius bagi memastikan bakteria yang boleh menyebabkan makanan rosak dapat dimusnahkan. Dengan proses pemanasan bertekanan tinggi serta penggunaan pembungkusan khas seperti kantung aluminium berlapis, risiko pencemaran dapat diminimumkan,” katanya.

Beliau berkata teknologi retort turut membuka peluang kepada pengusaha makanan tradisional untuk menembusi pasaran yang lebih luas, malah makanan bayi dan produk sedia makan juga dilihat berpotensi besar menggunakan kaedah itu kerana ketahanannya yang lebih lama.

Kaedah itu turut memudahkan penghantaran produk ke Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman tanpa risiko kerosakan akibat gangguan suhu sepanjang perjalanan.

Selain menghasilkan 43 jenis produk retort sendiri termasuk kari daging, daging dendeng berlada dan sambal sotong, syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan pemprosesan retort kepada pengusaha makanan lain yang ingin memanjangkan jangka hayat produk mereka.

“Antara pelanggan kami termasuk pengembara, pelajar dan suri rumah yang mahukan makanan mudah disediakan, namun terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi termasuk jenis lauk serta kaedah masakan yang sesuai. Jadi kita lihat penerimaan positif terhadap teknologi ini membuktika retort berpotensi menjadi norma baharu dalam teknik penyimpanan makanan tempatan," katanya. 

Beliau berkata penerimaan positif terhadap teknologi itu menunjukkan retort berpotensi menjadi norma baharu dalam teknik penyimpanan makanan tempatan.

Jika sebelum ini makanan retort lebih sinonim dengan aktiviti pengembaraan, ketenteraan atau kegunaan kecemasan, kini ia semakin diterima dalam kehidupan harian masyarakat. 

"Perubahan ini menunjukkan bagaimana inovasi dalam teknologi pemprosesan makanan mampu mengubah landskap industri serta membuka peluang baharu kepada pengusaha tempatan untuk bersaing dalam pasaran yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan