KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Sebanyak 700 perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PKS) tempatan di bawah program inkubasi berjaya mencatat jualan melebihi RM28 juta di TikTok Shop.
Kejayaan itu susulan pelaksanaan program peningkatan kemahiran dan pemerkasaan digital di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
TikTok dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 74 peratus daripada penjual ialah wanita, menunjukkan penyertaan kukuh usahawan golongan itu dalam ekonomi digital yang berkembang pesat di Malaysia.
Pencapaian itu diumumkan pada pelancaran TikTok Shop Bazar Raya di Pusat Konvensyen IOI City Mall Putrajaya pada Khamis lepas sempena Ramadan dan menjelang Hari Wanita Antarabangsa.
Menurut kenyataan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata penyertaan aktif usahawan wanita mencerminkan keterangkuman usaha kerajaan dalam memperkasakan perniagaan tempatan melalui platform digital.
“Fakta bahawa 74 peratus daripada 700 penjual di bawah program inkubasi itu ialah wanita, sekali gus membuktikan penyertaan ekonomi yang inklusif hasil kerjasama berterusan dengan TikTok Shop,” katanya.
Sim berkata KUSKOP kekal komited dalam usaha meningkatkan kemahiran usahawan tempatan bagi membina jenama Malaysia yang berdaya tahan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata pemerkasaan PKS dengan keupayaan digital melalui kerjasama awam-swasta akan membantu memperkukuh perniagaan kecil untuk jangka panjang sambil memperkuat mata pencarian komuniti tempatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata penyertaan aktif usahawan wanita menyerlahkan peranan ekosistem e-dagang TikTok Shop dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.
“Kami menghargai kepercayaan rakan niaga kami dan terus komited dalam membina persekitaran digital yang dinamik yang membolehkan perniagaan pelbagai saiz boleh berkembang,” katanya.
Bagi memanfaatkan momentum itu, KUSKOP dan TikTok Shop bakal memperkukuh kerjasama strategik melalui pengembangan TikTok Shop LIVE Hubs di Pahang dan Pulau Pinang, memberikan akses lebih luas kepada latihan khusus dan fasiliti siaran langsung berkualiti tinggi untuk usahawan.
Sehingga kini, TikTok Shop LIVE Hubs yang dilancarkan di Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Kelantan telah menganjurkan lebih 100 sesi latihan secara bersemuka serta memperkasakan lebih 3,000 PKS.
“Infrastruktur kukuh itu berjaya menyediakan lebih 1,800 jam siaran langsung, dengan jumlah tontonan melebihi 40 juta,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin menyokong PKS tempatan dipelawa mengunjungi TikTok Shop Bazar Raya 2026 yang dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, mulai 5 hingga 8 Mac 2026 di Pusat Konvensyen IOI City Mall Putrajaya, dan berpeluang menikmati tawaran menarik daripada lebih 80 gerai penjual.
Untuk maklumat lanjut mengenai Jualan Bazar Raya TikTok Shop, sila layari https://vt.tiktok.com/ZS9d2ufAdYame-9qVKM/
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial