AM

20 Hari Siapkan Lukisan Putera Mahkota Brunei - Muhammad Darwisy

07/03/2026 08:08 PM

KOTA BHARU, 7 Mac (Bernama) -- Pelukis kelahiran Kelantan Muhammad Darwisy Mustafani tidak menyangka bakat seninya membuka peluang untuk menghasilkan lukisan potret Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah.

 Muhammad Darwisy, 25, dari Kampung Pulau Panjang di sini berkata peluang itu amat bermakna, terutamanya apabila dapat mempersembahkan karya itu kepada Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah di Istana Brunei pada 17 Feb sempena majlis ulang tahun keputeraan baginda.

“Pada awalnya saya menerima mesej melalui Instagram dalam November tahun lepas daripada wakil Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang ingin menempah lukisan potret bertakhtakan emas dan batu Swarovski.

“Saya mula menghasilkan hampir 10 lakaran draf dan kertas kerja yang mengambil masa agak lama sebelum berjaya mendapat hasil yang benar-benar memuaskan serta diluluskan pihak istana,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata mempunyai 20 hari untuk menyiapkan potret itu, walaupun pada kelazimannya karya sebegitu boleh mengambil masa lebih daripada sebulan. 

Muhammad Darwisy berkata selepas mencapai persetujuan, kain tenun jenis Silubang Bangsi dihantar kepadanya bagi melakar potret Putera Mahkota dengan menggunakan cat akrilik.

“Saya menyiapkan bahagian muka terlebih dahulu, iaitu bahagian paling rumit untuk mendapat lakaran benar-benar mirip.

“Memandangkan masa diberikan agak singkat, tiga hari terakhir saya hanya tidur sejam sehari kerana khuatir lukisan tidak siap,” katanya.

Muhammad Darwisy berkata bagi sentuhan akhir lukisan, sebanyak 1,000 batu Swarovski hitam ditampal dan turut dihiasi 20 kepingan emas wafer 999 yang bernilai RM180 setiap satu.

“Proses menampal kepingan emas juga agak mencabar kerana perlu dipotong menjadi potongan kecil sebanyak 52 keping sebagai simbolik kepada usia Putera Mahkota,” katanya.

Muhammad Darwisy berkata dirinya menyangka pegawai ABDB akan persembahkan karya itu, namun pada saat akhir pihak istana memberi kepercayaan kepadanya untuk mempersembahkan sendiri potret tersebut kepada Putera Mahkota Brunei.

“Saya diminta mempersembahkan potret itu pada majlis santapan di Bangunan Kementerian Pertahanan dan sebaik tamat majlis santapan saya diberi peluang masuk ke istana untuk menghantar potret berkenaan.  

“Perasaan bertemu Putera Mahkota Brunei bercampur baur kerana berasa gemuruh dan pada masa sama bersyukur kerana semuanya lancar. Baginda turut bertanya beberapa soalan berkaitan dengan lukisan itu.

“Saya tidak sangka lukisan itu menambat hati Putera Mahkota Brunei kerana pada awalnya ia dirancang diletakkan di Istana Brunei, namun telah diarahkan untuk dipindahkan ke pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Perkongsian Muhammad Darwisy mengenai lukisan potret itu di akaun TikToknya, wisyilukis mendapat tontonan sehingga 1.6 juta dan menerima lebih 100,000 tanda suka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan