AM

Parkir Bertingkat HSB Bernilai RM13.96 Juta Dijangka Siap Hujung April

07/03/2026 05:43 PM

ALOR SETAR, 7 Mac (Bernama) -- Pembinaan kemudahan tempat letak kereta bertingkat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dengan kos RM13.96 juta dijangka siap pada hujung bulan depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kemudahan itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan dan kekurangan parkir yang telah lama dihadapi pesakit, pelawat serta petugas hospital.

“Kemudahan itu inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik prasarana di hospital kerajaan yang menerima jumlah pengunjung tinggi setiap hari.

“Kemudahan parkir bertingkat menyediakan 500 petak parkir berbumbung dan 400 petak terbuka yang dijangka siap mengikut jadual pada 30 April,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke HSB di sini hari ini.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sentiasa meneliti keperluan menaik taraf kemudahan hospital kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik diberikan kepada rakyat.

Beliau berkata kementerian turut menyalurkan peruntukan pembangunan kepada HSB dari 2023 hingga 2025 berjumlah RM6.93 juta yang melibatkan keseluruhan 63 projek.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kementerian turut menambah peralatan makmal invasif kardiologi (ICL) di HSB bernilai RM22.5 juta dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung yang memerlukan prosedur di hospital itu.

“Ini ICL kedua di HSB yang dijangka dapat mengurangkan tempoh menunggu pesakit bagi menjalani prosedur di hospital ini sehingga 50 peratus.

“Pihak hospital komited melaksanakan perkara itu termasuk dengan kehadiran enam doktor pakar dalam rawatan jantung dan kita berharap dengan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan, HSB akan terus menjadi pusat rujukan utama di utara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan