DUNIA

649 Rakyat Malaysia Masih Terkandas Di Timur Tengah - Kementerian Luar

08/03/2026 01:00 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) – Seramai 649 rakyat Malaysia masih terkandas di beberapa lokasi di Timur Tengah susulan konflik yang semakin meruncing di sebahagian rantau berkenaan, menurut Kementerian Luar.

Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, kementerian itu memaklumkan bahawa setakat 6 petang,  7 Mac, seramai 24,568 rakyat Malaysia telah mendaftar dengan kementerian melalui sistem e-Konsular.

Ia berkata usaha kini ditumpukan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik itu  dan memudahkan kepulangan mereka melalui penerbangan komersial yang tersedia.

"Pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di rantau itu juga telah mengalihkan fokus operasi kepada penyelarasan pemindahan dan bantuan konsular," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa nasihat perjalanan yang dikeluarkan pada 5 Mac masih berkuat kuasa.

Kabinet Malaysia telah meluluskan pelan luar jangka bagi membawa mereka pulang sekiranya situasi keselamatan serantau merosot, sekali gus menekankan keutamaan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan perjalanan sambil memudah cara kepulangan mereka menerusi penerbangan komersial yang ada.

Kementerian memaklumkan penyelarasan usaha membawa mereka pulang pada masa ini menggunakan koridor perjalanan dan penerbangan komersial yang tersedia di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Oman, dan Turkiye.

Menurut kementerian, setakat 6 petang Sabtu, jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Oman telah berkurangan daripada 190 kepada lima orang susulan pelepasan pulang baru-baru ini.

Di UAE pula, seramai 246 rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai telah berlepas pulang, meninggalkan 176 lagi dalam senarai aktif pejabat perwakilan.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai sedang menghubungi baki rakyat Malaysia untuk membantu pengaturan tiket alternatif, termasuk pilihan bersama Air Arabia dan SriLankan Airlines, selain menangani isu penginapan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, penerbangan Emirates EK342 telah berlepas dari Dubai ke Kuala Lumpur pada 6 Mac dengan membawa 222 penumpang Malaysia, termasuk pengembara yang terkandas dan kumpulan jemaah umrah yang transit dari Jeddah.

Emirates juga telah menyambung semula penjualan tiket laluan Dubai - Kuala Lumpur bermula 7 Mac.

Di Abu Dhabi, 25 rakyat Malaysia masih terkandas manakala lima orang telah berlepas pulang. Di Bahrain pula, tiada rakyat Malaysia yang terkandas buat masa ini, walaupun 105 orang telah mendaftar untuk dibawa pulang secara sukarela.

Sementara itu, di Arab Saudi, seramai 243 rakyat Malaysia masih terkandas yang kebanyakannya merupakan jemaah umrah.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah mempergiat penyelarasan dengan operator pelancongan dan pihak berkuasa bagi memudahkan kepulangan mereka.

Penerbangan dari Jeddah terus beroperasi dengan dua penerbangan Malaysia Airlines telah berlepas pada 6 Mac. Penerbangan seterusnya oleh Malaysia Airlines dan AirAsia dijadualkan pada 8 Mac, manakala Batik Air dijadualkan beroperasi pada 9 Mac.

Kementerian turut mengambil maklum mengenai kenyataan terbaharu Majlis Pimpinan Sementara Iran, sambil menambah ia  sedang bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terus memantau perkembangan di sana.

Rakyat Malaysia di rantau itu digesa untuk mendaftar dan mengemas kini butiran mereka melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my atau melalui pejabat perwakilan diplomatik Malaysia yang terdekat.

Bilik operasi kementerian di Putrajaya kekal aktif 24 jam dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Situasi di Timur Tengah tegang sejak 28 Feb apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan