AM

Sentuhan Kasih Di Pasar Chowrasta, Hui Ying Raikan Wanita Sempena Hari Wanita Antarabangsa

08/03/2026 09:50 AM

GEORGE TOWN, 8 Mac (Bernama) -- Suasana di Pasar Chowrasta dan Pasar Cecil Street di sini hari ini lebih meriah apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung wanita sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026.

Lim beramah mesra bersama para peniaga serta pengunjung wanita dengan mengedarkan 2,500 kuntum bunga ros sebagai simbol penghargaan dan tanda kasih sayang terhadap kaum wanita yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan keluarga serta ekonomi setempat.

“Hari Wanita Antarabangsa bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi merupakan platform penting untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai sektor kehidupan.​

“Sama ada sebagai ibu yang menjadi tunjang keluarga, pekerja menyumbang kepada ekonomi negara, usahawan mencipta peluang pekerjaan mahupun pemimpin dalam komuniti, wanita merupakan antara penggerak utama kemajuan masyarakat,” katanya kepada wartawan di sini hari ini. 

​Menurut beliau, tema sambutan tahun ini, “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”, menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara amat bergantung kepada tahap penyertaan dan kedudukan wanita dalam pelbagai bidang pembangunan.

Sementara itu, Lim berkata Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkasakan wanita melalui pelaksanaan Dasar Wanita Negara 2025–2030 yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi, peningkatan kepimpinan, serta perlindungan keselamatan dan kesejahteraan wanita.

​“Kerajaan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti program Wanita MyWira yang menyediakan latihan kemahiran dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan dan ekonomi masa depan bagi membantu wanita yang ingin kembali menyertai pasaran pekerjaan.

​“Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi penjagaan (care economy) dan menggalakkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi baharu termasuk ekonomi kreatif serta Ekonomi Jingga yang merangkumi bidang seni, budaya, kraf, fesyen dan kandungan digital,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan