PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM3.1 bilion bantuan kewangan bulanan telah disalurkan bagi membantu meringankan beban hidup lebih 500,000 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata JKM turut menyalurkan RM19.5 juta kepada 204 Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di seluruh negara yang menyediakan kemudahan jagaan, perlindungan dan pemulihan kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada 6,292 klien selain memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi golongan memerlukan.
“Sehingga kini, terdapat 39 institusi kanak-kanak dengan 1,808 penghuni, 12 institusi warga emas dengan 1,202 penghuni dan 10 institusi Orang Kurang Upaya (OKU) dengan 1,094 penghuni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ihya’ Ramadan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama kumpulan sasar JKM bagi 2026 di sini hari ini.
Nancy berkata kerajaan melalui KPWKM dan JKM akan meneruskan momentum dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan kumpulan sasar terus diperkasa pada tahun ini.
“Kami komited untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada arus pembangunan dan perlindungan sosial,” katanya.
Program Ihya’ Ramadan KPWKM bersama kumpulan sasar JKM tahun ini meraikan sebanyak 135 penerima terdiri daripada kanak-kanak, warga emas dan OKU dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program itu turut menampilkan keprihatinan sektor korporat menerusi sumbangan 200 bakul makanan serta duit raya kepada kumpulan sasar, selain diserikan dengan sesi tazkirah bertajuk “Keindahan Ramadan: Harmoni Bersama” oleh Ustaz Mohamad Hanafiah Abdul Malek.
Nancy dalam ucapannya turut mengambil kesempatan menitipkan pesanan kepada kanak-kanak yang hadir supaya tidak berasa rendah diri dan terus yakin dengan potensi diri kerana masa depan negara terletak di tangan generasi muda.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga emas atas sumbangan mereka kepada masyarakat dan memberi jaminan kerajaan akan terus berusaha memastikan kebajikan golongan itu sentiasa terbela.
Nancy berkata golongan OKU pula diseru bahawa ketidakupayaan bukanlah penghalang untuk berjaya kerana setiap individu mempunyai bakat serta keistimewaan tersendiri yang boleh dibanggakan.
“Apabila saya melihat wajah anak-anak, ibu-ibu serta ayahanda warga emas dan rakan OKU yang hadir pada hari ini, saya merasakan anda semua sebagai sebahagian daripada keluarga besar JKM yang amat saya kasihi.
“Kecekalan dan ketabahan semua dalam mengharungi liku-liku kehidupan adalah inspirasi serta azimat buat kami di KPWKM untuk bekerja dengan lebih tekun demi memastikan warga yang diraikan pada hari ini sentiasa terbela dan mendapat kebajikan yang sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial