AM

Wujud Ejen Provokasi Cetus Ketegangan Kaum - Ramanan

09/03/2026 10:20 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan hari ini mendedahkan kewujudan individu yang didakwa bertindak sebagai ejen provokasi bagi mencetuskan ketegangan kaum di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia itu berkata justeru, perkara berkenaan akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan kerana ia seolah-olah cuba memperalatkan nasib dan masa depan lebih 33 juta rakyat Malaysia demi agenda tertentu.

"Tindakan provokatif khususnya di media sosial dan tempat awam sejak kebelakangan ini amat membimbangkan... isu yang pada asalnya kecil disensasikan dan dijadikan sentimen perkauman sehingga mampu mencetuskan ketegangan," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR A.Kumaresan dan Dr Gunaraj George, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor serta Pengerusi MPN Terengganu Dr Zainudin Awang @Omar.

Ramanan juga berkata terdapat individu tertentu dipercayai diupah sebagai ejen provokasi bagi mencetuskan konflik perkauman dan pihak berkuasa perlu mengenal pasti dalang di sebalik pembiayaan itu.

"Negara kita ada undang-undang... jika ada isu, ikut saluran yang betul, buat laporan polis dan biar mahkamah menentukan," katanya.

Beliau berkata prestasi ekonomi yang positif di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cuba dimanipulasi pihak tertentu dengan melakukan provokasi untuk menimbulkan ketegangan kaum bagi mengganggu-gugat perpaduan negara.

"Apabila ekonomi negara baik, kadar pengangguran rendah sekitar 2.9 peratus dan ringgit semakin mengukuh, ada pihak yang sudah tidak mempunyai modal politik lalu memainkan isu perkauman untuk mencetuskan huru-hara," katanya.

Ramanan berkata budaya rakyat Malaysia selama ini adalah mengutamakan dialog dan perbincangan dalam menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan, bukannya melalui keganasan atau mengambil undang-undang di tangan sendiri.

"Jangan fikir beberapa individu boleh menjadikan 33 juta rakyat Malaysia sebagai tebusan kepada agenda peribadi mereka... kerajaan tidak akan berdiam diri," katanya sambil memberi amaran keras kepada ejen provokasi berkenaan agar segera menghentikan tindakan mereka.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan