EKONOMI

Kerajaan Bantu PMKS Selesai Masalah Logistik Susulan Konflik Asia Barat

10/03/2026 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyelesaikan masalah yang wujud sekiranya berlaku gangguan terhadap logistik dan penghantaran barangan susulan konflik Asia Barat, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan masih menjalankan analisis dan memantau secara lebih serius berhubung situasi di Asia Barat.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menjelaskan bahawa sudah tentu ada impaknya terhadap ekonomi Malaysia.

“Kita akan menghadapi masalah dari segi logistik dan barangan yang melalui kawasan perang. Cabaran ini bukan sahaja dihadapi Malaysia, malah negara lain di seluruh dunia. 

“Kerajaan akan cuba membantu dari segi masalah kalau ada yang tersangkut di mana-mana logistik barangan mereka,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang ingin mengetahui strategi kementerian untuk mengatasi masalah dihadapi PMKS susulan konflik Asia Barat dan jika konflik tersebut berpanjangan sehingga boleh menyebabkan PMKS ‘gulung tikar’.  

Sim berkata kementerian melalui pegawai atau kedutaan akan membantu PMKS menyelesaikan masalah yang wujud.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan bertindak secara proaktif. Bagaimanapun, kita memerlukan laporan daripada kedutaan dan atase MITI, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di rantau sana agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan