JENAYAH & MAHKAMAH

Bayi Empat Bulan Maut: Dua Pekerja Pusat Asuhan Direman Tujuh Hari

10/03/2026 02:51 PM

BUKIT MERTAJAM, 10 Mac (Bernama) -- Dua pekerja pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang ditahan susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata perintah reman terhadap dua wanita berusia 22 tahun sehingga 16 Mac dikeluarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan HSJ pada 6.10 pagi semalam, memaklumkan seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi selepas dibawa ke hospital oleh pengasuh sebuah taska.

“Susulan maklumat itu, polis telah menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut. 

“Hasil siasatan awal, polis menahan dua wanita tempatan yang merupakan pekerja di pusat asuhan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helmi berkata bedah siasat telah dijalankan namun punca kematian masih belum dapat dipastikan dan diklasifikasikan sebagai masih dalam siasatan sementara menunggu keputusan ujian serta siasatan lanjut.

Semalam, polis mengesahkan kematian Hayl Haarith Mohd Syafaeez yang dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar ke pusat jagaan itu kerana ibunya, seorang jururawat bertugas syif malam.

Difahamkan doktor telah melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa selama kira-kira sejam.

Pusat jagaan itu beroperasi 24 jam sehari dan dipantau penyelia serta dilengkapi CCTV.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan