DUNIA

Majoriti Rakyat AS Tolak Perang Di Iran - Tinjauan

10/03/2026 09:17 PM

ANKARA, 10 Mac (Bernama-Anadolu) -- Satu tinjauan nasional baharu di Amerika Syarikat (AS) mendapati lebih separuh rakyat AS menentang tindakan ketenteraan semasa terhadap Iran dengan 62 peratus berpendapat pentadbiran Presiden Donald Trump tidak memberikan penjelasan yang jelas mengenai serangan itu, lapor Anadolu Ajansi.

Tinjauan nasional oleh Quinnipiac University mendapati 53 peratus responden menentang serangan yang sedang berlangsung manakala 40 peratus menyokongnya.

Pengundi daripada Parti Demokrat didapati sangat menentang tindakan ketenteraan itu (89 peratus), manakala penyokong Parti Republikan pula menyokongnya (85 peratus).

Menurut tinjauan itu, 74 peratus responden menentang penghantaran tentera darat Amerika ke Iran, sementara hanya 20 peratus menyokong cadangan itu.

Kebanyakan pengundi menjangka konflik itu akan berlarutan selama beberapa bulan atau lebih lama, dan bukannya berakhir dalam masa terdekat.

Dasar luar Trump menerima 40 peratus kadar kelulusan dan 57 peratus tidak bersetuju. Setiausaha Negara Marco Rubio memperoleh 40 peratus kelulusan dan 47 peratus tidak bersetuju terhadap prestasi beliau, manakala Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth menerima 37 peratus kelulusan dan 52 peratus tidak bersetuju.

Bagaimanapun, pengundi berbelah bahagi mengenai pembunuhan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei pada hari pertama serangan bersama Israel-Amerika Syarikat ke atas Tehran dengan 48 peratus berpendapat tindakan itu wajar manakala 43 peratus tidak bersetuju.

Tinjauan itu dijalankan antara 6 hingga 8 Mac melibatkan 1,002 pengundi berdaftar yang dikenal pasti sendiri.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan