AM

Kabinet Lulus Projek Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang Di Pulau Carey

11/03/2026 09:09 PM

PUTRAJAYA, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan projek pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey, Selangor, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan memorandum Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi pembangunan projek berkenaan, dan ia akan dilaksana oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Projek ini telah pun dinyatakan sebelum ini tetapi keputusan Jemaah Menteri hari ini telah memperinci model pelaksanaannya, iaitu kita akan meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Selangor sebagai peneraju pembangunan ini.

“MOT akan terus menjadi badan pengawal selia untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan teratur dan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Paduan Kasih MADANI dan Ihya Ramadan MOT 2026 di sini hari ini. 

Loke berkata Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan special purpose vehicle atau syarikat bertujuan khas bersama-sama syarikat swasta untuk mendapatkan pelaburan swasta bagi membina dan mengoperasikan pelabuhan ketiga di Pelabuhan Klang. 

“Ini merupakan satu projek jangka panjang yang penting untuk negara, iaitu satu infrastruktur yang cukup besar dan strategik… ini memberikan gambaran dan isyarat bahawa walaupun kita berdepan cabaran geopolitik dunia pada hari ini, ia tidak akan membantutkan pembangunan negara kita.

“Kita akan terus mara ke hadapan untuk memastikan projek-projek infrastruktur yang penting akan dilaksana,” katanya. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bergerak pantas dalam merealisasikan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.

Anwar berkata projek itu perlu menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti.

Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey ialah projek strategik yang penting untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan serta logistik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan