JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Bertemu Perdana Menteri Esok, Syor Hantar Pulang 800 Kontena e-Sisa

11/03/2026 10:30 PM

PELABUHAN KLANG, 11 Mac (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok berhubung isu lambakan kontena yang disyaki mengandungi sisa elektronik (e-sisa) yang masuk ke dalam negara.

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada pengesanan, pemeriksaan dan penyelarasan tindakan antara agensi bagi menangani penghantaran haram yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

“Esok saya bersama Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain akan bertemu Perdana Menteri bagi membentangkan isu semasa serta langkah yang perlu diambil secara bersama.

“Keutamaan kami ialah mencadangkan supaya kontena yang mengandungi e-sisa yang disekat dihantar pulang ke negara asal bagi memastikan isu ini ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Iftar Perdana Agensi AKPS Pelabuhan Klang bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Nik Ezanee berkata setakat ini, AKPS telah mengenal pasti lebih 800 kontena disyaki mengandungi penghantaran e-sisa secara haram yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan penyalahgunaan dan risiko keselamatan di pelabuhan.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pasukan Petugas Bersama E-Waste di peringkat Pelabuhan Klang membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM Berhad dan Port Klang Authority bagi menyelaraskan tindakan dan maklumat antara semua pihak.

“Pada awalnya, setiap agensi mempunyai senarai kontena masing-masing yang perlu diperiksa. Oleh itu, kami menyelaraskan semua senarai serta menggabungkannya dalam satu pangkalan data bersama bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan.

“Kami sedang meneliti kontena mana yang telah diperiksa, yang belum diperiksa serta menentukan langkah seterusnya bagi membolehkan kontena itu dihantar pulang ke negara asal dengan prosedur yang teratur,” ujarnya.

Nik Ezanee berkata langkah itu dijangka mempercepatkan proses penghantaran pulang kontena e-sisa ke negara asal, selepas prosedur dalaman selesai dan semua pihak bersedia melaksanakan tindakan selaras dengan garis panduan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata AKPS juga sedang meneliti aliran prosedur yang diperlukan bagi memudahkan pengeluaran kontena dari pelabuhan untuk memastikan tiada kelewatan yang boleh menjejaskan penguatkuasaan dan keselamatan operasi.

“Apabila kami menghadapi isu seperti ini, kami tidak seharusnya menuding jari antara satu sama lain, sebaliknya kami perlu duduk bersama dan mencari jalan penyelesaian secara kolektif bagi kepentingan negara.

“AKPS juga akan membentangkan cadangan strategik yang merangkumi langkah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di pelabuhan lain yang berisiko untuk mengelakkan sebarang aktiviti haram berulang,” jelasnya.

Beliau berkata keselamatan dan pematuhan undang-undang import sentiasa menjadi keutamaan AKPS bagi memastikan tiada aktiviti haram yang menjejaskan negara dan pelabuhan beroperasi secara selamat serta teratur.

Terdahulu, BERNAS meraikan kira-kira 350 pegawai dan anggota AKPS menerusi majlis berbuka puasa selepas mengagihkan 700 bekas bubur lambuk kepada yang sedang bertugas di sekitar pelabuhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan