JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Dipercayai Terbabit Kes Bunuh Di Sungai Udang Direman Tujuh Hari

12/03/2026 12:31 PM

MELAKA, 12 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian menikam seorang pemuda di Sungai Udang di sini, malam tadi direman tujuh hari bermula dari hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata reman hingga 18 Mac terhadap suspek berumur 43 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin selepas mendapat permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek sebelum ini meminjamkan sebuah telefon bimbit kepada mangsa beberapa hari lepas kerana telefon bimbit mangsa rosak.

"Mangsa dikatakan tidak memulangkan telefon bimbit yang dipinjam daripada suspek atas pelbagai alasan dan suspek pula beranggapan mangsa telah menjual telefon bimbitnya untuk membeli dadah.

"Pertemuan tersebut kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan sebelum suspek dipercayai menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah parang dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di dada dan kepala," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata suspek kemudian melarikan diri ke sebuah bangunan dan cuba bersembunyi di dalam sebuah kenderaan tidak berkunci, namun berjaya dikepung dan ditahan polis di lokasi dengan bantuan orang ramai.

"Semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Beliau berkata pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes ASP Nor Afnna Ibrahim menerusi talian 012-7250454.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan