| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi pendaftaran dan pelesenan semi treler jenis open platform yang dilengkapi sistem twist lock untuk tujuan membawa kontena piawaian antarabangsa (ISO) termasuk barangan yang diluluskan untuk dibawa oleh semi treler jenis berkenaan.
MOT dalam kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan itu tertakluk kepada syarat operasi port to business (P2B) dan business to port (B2P) sahaja.
“Keputusan ini sebahagian daripada usaha memperkemas kerangka kawal selia, meningkatkan kecekapan logistik negara dan memastikan aspek keselamatan serta pematuhan teknikal kenderaan perdagangan sentiasa terpelihara.
“Langkah ini bukan sahaja dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan negara, malah berupaya membantu mengurangkan kos operasi industri logistik,” menurut kenyataan itu.
MOT memaklumkan kelulusan itu membolehkan rakyat menikmati manfaat melalui kos barangan serta perkhidmatan yang lebih kompetitif, dan kementerian itu kekal komited memastikan dasar yang dilaksanakan seimbang, selamat dan memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negara.
MOT memaklumkan pihak industri logistik perlu mematuhi beberapa syarat umum kelulusan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan pelesenan kenderaan merangkumi reka bentuk dan had panjang kenderaan serta jenis kontena dibenarkan.
“Kelulusan terhad kepada reka bentuk pelan teknikal bagi kenderaan baharu sahaja dengan maksimum panjang semi treler 45 kaki dengan sistem twist lock dan nisbah penggerak utama kepada semi treler kekal seperti sedia ada iaitu maksimum 1:7,” menurut kenyataan itu.
Jenis kontena yang dibenarkan ialah kontena ISO 40 dan 45 kaki sahaja bagi memastikan aspek keselamatan yang menjadi keutamaan manakala kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang ditetapkan sama seperti lori kontena dengan menggunakan Kod Kegunaan BQ - Penggerak Utama Kontena.
Selain itu, kenderaan tersebut akan dilesenkan di bawah jenis perkhidmatan kontena (Permit Operasi: KA) tertakluk kepada muatan yang ditetapkan dalam pelan teknikal serta syarat permit oleh pihak berkuasa dengan skop operasi terhad kepada P2B dan B2P.
“Syarat Berat Dengan Muatan (BDM) maksimum ialah 53 tan tertakluk kepada syarat teknikal terperinci yang akan ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” menurut MOT.
MOT memaklumkan pihak industri boleh menghubungi JPJ serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mendapatkan maklumat lanjut tatacara pendaftaran dan pelesenan semi treler itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial