KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) – Tiada rakyat Malaysia dikategorikan sebagai terkandas di wilayah barat Arab Saudi susulan kejayaan Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat pada Selasa (10 Mac).
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis, Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) Jeddah berkata operasi evakuasi yang berlepas dari Jeddah pada Selasa telah berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas ke tanah air.
Sehubungan itu, KJM Jeddah berkata bilik Operasi 24 Jam yang dibuka susulan konflik yang melanda rantau itu kini ditutup.
“Melihat kepada situasi yang bertambah baik apabila kebanyakan syarikat penerbangan telah menyambung semula perkhidmatan, KJM Jeddah dengan ini mengumumkan bahawa Bilik Operasi 24 Jam KJM Jeddah kini telah ditutup.
“Walau bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia yang memerlukan khidmat konsular, KJM Jeddah boleh terus dihubungi melalui telefon: +966 126 727 740 | +966 573 099 589 (kecemasan sahaja) atau e-mel: mwjeddah@kln.gov.my,” katanya.
Pada Rabu, sebanyak 163 rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa negara di rantau Asia Barat selamat tiba di tanah air. Kumpulan itu merangkumi jemaah umrah dari Arab Saudi serta rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan dan Syria, yang terkesan susulan gangguan jadual penerbangan serta penutupan ruang udara di rantau berkenaan.
Penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines MH8503 bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang berlepas dari Jeddah turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi.
Pada Khamis, di bawah Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat, seramai 179 orang lagi rakyat Malaysia telah selamat tiba di tanah air dari Doha, Qatar.
Jumlah itu merangkumi 59 rakyat Malaysia yang terkandas serta rakyat Malaysia yang menetap di Qatar yang telah membeli tiket penerbangan sendiri.
Terdapat juga rakyat Filipina, Australia dan lain-lain yang akan mengambil penerbangan sambungan ke negara masing-masing setelah sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial