KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Ahli perniagaan Albert Tei akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Mahajoth Singh yang mewakili Tei, atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, memaklumkan permohonan itu akan difailkan selewat-lewatnya minggu depan.
“Permohonan itu dibuat kerana pertuduhan dihadapi anak guam kami membabitkan isu perlembagaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Selain itu, Mahajoth berkata pihaknya akan meneliti kesemua dokumen kes itu terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada perlu mengemukakan representasi atau sebaliknya.
Terdahulu, semasa prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kes kepada pembelaan.
Hakim Rosli kemudian menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kes.
Tei, 37, didakwa atas empat pertuduhan iaitu memberi suapan wang tunai berjumlah RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Suapan itu sebagai dorongan untuk Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 Nov 2023 dan 5 Mac 2024.
Selain itu, Tei didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial