AM

Zakat Perak Al Ridzuan Catat RM272.07 Juta Kutipan Bagi Tahun 2025

13/03/2026 03:54 PM

IPOH, 13 Mac (Bernama) -- Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) merekodkan peningkatan jumlah kutipan zakat kepada RM272.07 juta tahun lalu berbanding RM252.12 juta pada 2024.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata perbelanjaan zakat bagi 2025 juga meningkat hampir RM60 juta kepada RM261.54 juta berbanding RM203.33 juta pada tahun sebelumnya.

“Permohonan bagi bantuan zakat yang diterima turut merekodkan peningkatan daripada 114,165 pada 2024 kepada 141,164 permohonan pada 2025.

“MAIPk akan mengambil inisiatif baharu dengan melantik Amil Agihan sebagai langkah memperkukuh pengurusan dan penyampaian bantuan zakat kepada golongan asnaf,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di sini, hari ini.

Mohd Annuar berkata Bantuan Kewangan Bulanan merupakan skim dengan peruntukan terbesar melibatkan agihan sebanyak RM70.60 juta dengan jumlah 14,576 penerima bantuan.

MAIPk juga membelanjakan RM16.44 juta membabitkan 640 penerima dalam aspek kesihatan melalui bantuan Hemodialisis selain sebanyak RM7.18 juta disalurkan dibawah bantuan perubatan bagi membantu 839 asnaf menampung kos rawatan dan ubat-ubatan.

Beliau berkata bantuan lain yang turut diberikan ialah Skim Bantuan Bina Rumah kepada 88 penerima berjumlah RM7.53 juta, agihan zakat sektor pendidikan berjumlah RM27.28 juta kepada 41,905 pelajar serta RM12.45 juta dibelanjakan kepada 1,872 penerima bantuan teras ekonomi Pemerkasaan Asnaf.

Selain itu, katanya, Wakaf Tunai di bawah Waqaf Perak Al Ridzuan pula mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM3.87 juta serta merekodkan seramai 742 orang pewakaf baharu pada tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan