JENAYAH & MAHKAMAH

Seramai 2,257 Pengarah Syarikat Dihalang Keluar Negara Pada 2025 - KWSP

13/03/2026 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Seramai 2,257 pengarah syarikat dihalang meninggalkan negara kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka antara tempoh Januari hingga Disember 2025.

Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata penyerahan nama majikan berkenaan kepada Jabatan Imigresen dibuat mengikut Seksyen 39 Akta KWSP 1991, sekali gus menjadikan seramai 14,332 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara sehingga Disember lepas atas sebab yang sama.

Beliau berkata pada tahun lepas, KWSP turut memfailkan 3,530 saman sivil dan mengambil 6,011 tindakan jenayah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang gagal menunaikan caruman KWSP pekerja.

“Semua majikan wajib menunaikan caruman pekerja mengikut Seksyen 43(1) Akta KWSP. Majikan yang gagal memenuhi kewajipan yang ditetapkan untuk membayar caruman KWSP boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, termasuk prosiding sivil, pendakwaan jenayah dan sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sazaliza berkata pasukan penguatkuasaan KWSP sentiasa memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar tepat pada masanya.

“Pembayaran caruman yang teratur pada masanya penting bukan sahaja untuk melindungi hak pekerja, malah bagi memastikan simpanan persaraan mereka terus berkembang dan menyediakan asas yang kukuh untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya.

Sazaliza berkata bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, KWSP juga telah menyelesaikan sebanyak 8,868 kes tunggakan caruman daripada 21,029 aduan yang dibuat pekerja, manakala 12,161 kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang.

Beliau berkata majikan yang gagal memenuhi kewajipan ditetapkan boleh dikenakan tindakan tegas selain menegaskan melindungi simpanan persaraan ahli terus menjadi keutamaan KWSP.

Ahli digesa untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun bagi memastikan caruman majikan mereka dikreditkan tepat pada masanya selain majikan turut digalakkan menggunakan i-Akaun (Majikan) untuk menyemak senarai pekerja, caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan