| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Indonesia mungkin bergelut untuk mengekalkan defisit belanjawannya dalam lingkungan had undang-undang tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), jika harga minyak global terus melonjak susulan ketegangan geopolitik berterusan, yang berpotensi memaksa kerajaan mempertimbangkan langkah fiskal luar biasa.
Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto, pada mesyuarat pleno Kabinet membentangkan simulasi kepada Presiden Prabowo Subianto mengenai beberapa senario harga minyak yang dikaitkan dengan konflik yang berlarutan antara lima dan 10 bulan, menunjukkan defisit fiskal Indonesia boleh melebihi ambang berkanun.
“Jadi ini bermakna di bawah beberapa senario ini, usaha mengekalkan defisit tiga peratus akan menjadi sukar melainkan kita mengurangkan perbelanjaan dan pertumbuhan, Tuan Presiden,” katanya pada mesyuarat yang disiarkan secara langsung di YouTube pada Jumaat.
Airlangga berkata unjuran kerajaan menunjukkan bahawa jika ketegangan geopolitik itu berterusan kira-kira lima bulan, dengan purata harga minyak mentah Indonesia US$86 setong dan rupiah menyusut kepada 17,000 setiap dolar Amerika Syarikat (AS), defisit fiskal boleh mencecah 3.18 peratus daripada KDNK.
Dalam senario sederhana apabila konflik berlanjutan kira-kira enam bulan, harga minyak boleh mencapai purata US$97 setong, dan rupiah boleh merosot kepada 17,300, dan melebarkan defisit kepada 3.53 peratus daripada KDNK.
Sementara dalam senario paling buruk, beliau menyatakan bahawa sekiranya konflik berlanjutan sehingga kira-kira 10 bulan, harga minyak boleh meningkat kepada US$115 setong dan rupiah akan terus menyusut kepada 17,500 setiap dolar AS, sekali gus mendorong defisit kepada 4.06 peratus daripada KDNK.
Beliau berkata unjuran itu mengandaikan pertumbuhan ekonomi antara 5.2 dan 5.3 peratus, manakala hasil sekuriti kerajaan boleh meningkat kepada 6.8-7.2 peratus, mencerminkan kerajaan kewangan yang lebih ketat, dengan menyatakan bahawa belanjawan negara Indonesia kini mengandaikan kadar pertukaran sebanyak 16,500 rupiah bagi setiap dolar AS.
Walaupun terdapat risiko, Airlangga berkata pembelian minyak mentah Indonesia baru-baru ini kekal di bawah andaian belanjawan negara sebanyak US$70 setong, dengan harga direalisasi pada US$64.41 Januari dan US$68.79 pada Februari.
Menurut Airlangga, kerajaan mungkin mempertimbangkan langkah fiskal kecemasan sama seperti yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, termasuk mengeluarkan peraturan kerajaan dan bukannya undang-undang bagi menyediakan fleksibiliti fiskal yang lebih besar.
Beliau berkata peraturan sedemikian membolehkan kerajaan melebihi had defisit buat sementara waktu dan memberi fleksibiliti yang lebih besar dalam pengurusan fiskal.
Selain itu, beliau menambah bahawa sebahagian daripada tekanan fiskal juga boleh diimbangi oleh hasil lebih tinggi daripada komoditi yang harganya biasanya meningkat seiring dengan harga tenaga global.
“Kebiasaannya, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat bersama-sama dengan harga minyak.
“Nikel biasanya meningkat, emas dan tembaga juga meningkat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial