| BERITA TERGEMPAR | Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | |
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang bertugas dalam misi pengaman di selatan Lubnan dilaporkan selamat selepas satu serangan udara Israel berhampiran pos pasukan terbabit, awal pagi tadi.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata serangan pada 2.35 pagi waktu tempatan dilaporkan berlaku berhampiran pos kawalan pasukan terbabit dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan MALBATT 850-13.
Beliau berkata serangan berkenaan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.
“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada 3.02 pagi yang mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa kemudahan serta penginapan anggota di kawasan pos awalan tersebut.
“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di Pos Kawalan telah diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata pasukan berkenaan kemudiannya bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) ke lokasi selamat dan tiba dengan selamat pada 4.12 pagi waktu tempatan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan anggota MALBATT mahupun LAF dan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.
“Pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi," katanya.
Beliau menegaskan keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan.
Menurut Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan rakan-rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara di bawah UNIFIL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial