AM

Komponen Simpanan Aset Strategik TDM Tangani Ancaman Hibrid — Raja Muda Perlis

14/03/2026 04:10 PM

KANGAR, 14 Mac (Bernama) — Komponen Simpanan kini menjadi aset strategik kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangkis sebarang ancaman hibrid yang semakin kompleks, selari dengan perubahan dinamika keselamatan global.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah transformasi komponen itu melangkaui peranan sokongan konvensional apabila turut melibatkan integrasi kepakaran profesional sivil, termasuk dalam bidang siber, teknologi, logistik dan perubatan.

Baginda berkata mobiliti pantas di peringkat akar umbi bersama kepakaran tersebut mampu bertindak sebagai pengganda kekuatan yang kritikal bagi menjamin kedaulatan negara dalam era peperangan moden yang semakin mencabar.

“Pembangunan keupayaan Tentera Darat Malaysia kini juga berteraskan prinsip serba guna dan fleksibel bagi mendepani persekitaran operasi masa hadapan yang sentiasa berubah.

“Strategi ini direkayasa khusus untuk menangani peperangan hibrid, ancaman zon kelabu serta ledakan teknologi disruptif berasaskan kecerdasan buatan (AI),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Negeri Perlis 2026 di sini, semalam.

Sementara itu, baginda yang juga Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah keupayaan tersebut bukan sahaja penting dalam konflik moden, malah mampu meningkatkan ketangkasan TDM dalam menguruskan krisis kemanusiaan dan bencana alam yang semakin kerap berlaku.

Majlis berbuka puasa itu diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli JAKPAS, pegawai dan anggota Askar Wataniah serta ketua jabatan, di samping menghargai sokongan berterusan terhadap peranan Angkatan Sukarela dalam memperkukuh pertahanan dan keselamatan negara.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan