JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja Lelaki Maut Motosikal Terbabas Ketika Lari Daripada Polis

14/03/2026 04:24 PM

IPOH, 14 Mac (Bernama) -- Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya terbabas selepas bertindak melarikan diri daripada polis di Jalan Pasar Awam dekat Kampar semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata dalam kejadian pada 10.08 malam itu, mangsa yang berusia 17 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa bersama empat rakannya yang menunggang motosikal ternampak Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan mereka bertindak melarikan diri apabila polis meminta mereka berhenti.

“Mangsa melarikan diri secara melawan arus melalui Jalan Pasar dan melanggar bonggol berhampiran pasar khinzir sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan dan melanggar besi tangga berhampiran longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata hasil siasatan mendapati mereka melarikan diri kerana takut dengan tindakan polis disebabkan tidak mempunyai lesen dan mengubah suai motosikal.

Beliau berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan