KLANG, 14 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyerahkan sumbangan RM10.87 juta kepada 25 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) melalui Geran Pemulihan Asnaf Riqab bagi membantu operasi dan kebajikan golongan berkenaan di negeri ini.
Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh keupayaan RPR dalam menyediakan rawatan, perlindungan serta bimbingan kepada asnaf riqab yang menghadapi pelbagai masalah sosial dan akidah.
“Bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan MAIS dalam memastikan kebajikan golongan asnaf riqab sentiasa diberi perhatian melalui sokongan kepada institusi yang menyediakan perlindungan dan bimbingan kepada mereka,” katanya berucap pada Majlis Tadarus dan Iftar Perdana Rumah Pemulihan Riqab 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah sumbangan yang diterima setiap RPR ditentukan berdasarkan keperluan operasi dan program pemulihan masing-masing dengan nilai antara RM3,000 hingga RM100,000.
Mohd Sabirin berkata pendekatan sedemikian juga membolehkan MAIS memastikan setiap rumah pemulihan menerima sokongan yang bersesuaian dengan kapasiti yang sepatutnya.
“MAIS berharap bantuan yang disalurkan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh RPR dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap golongan berkenaan.
"Peranan rumah pemulihan amat penting bagi memastikan asnaf riqab mendapat perlindungan, pemulihan dan bimbingan yang sewajarnya agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, RPR yang menerima bantuan antaranya Rumah Sahabat, Rumah Penawar, Rumah Perlindungan dan Bimbingan Wanita Bayt Rahmah, Rumah Teduhan Kasih serta Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS).
Pada majlis berkenaan, MAIS turut menyalurkan RM401,200 kepada 1,003 asnaf riqab di negeri ini bagi membantu mereka membuat persiapan awal menyambut Aidilfitri.
“Setiap asnaf menerima RM400 termasuk pembelian baju Melayu, baju kurung dan kelengkapan hari raya. Bantuan diharapkan dapat meringankan beban golongan berkenaan serta memberi kegembiraan,” katanya.
Asnaf riqab merujuk kepada individu yang terbelenggu dengan pelbagai masalah sosial dan akidah, termasuk penagihan dadah, sumbang mahram, persetubuhan haram dan mereka yang terpesong daripada ajaran Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial