AM

FAMA Sasar Jualan RM40 Juta Menerusi Semarak Syawal 1447@Pasar Tani Di 722 Lokasi

15/03/2026 01:38 PM

SHAH ALAM, 15 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan program Semarak Syawal 1447@Pasar Tani yang dilaksanakan di 722 lokasi niaga di seluruh negara bermula semalam hingga 19 Mac ini mampu mencatat nilai jualan mencecah RM40 juta.

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata program berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk secara terus kepada pengguna, selain mempromosikan pasar tani sebagai platform pemasaran utama bagi produk pertanian segar, makanan dan produk industri asas tani.

“Kita melaksanakan program ini di beberapa lokasi utama termasuk di Putrajaya, Bangi, Melawati dan beberapa kawasan lain di sekitar Lembah Klang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan menjelang Aidilfitri dengan harga yang berpatutan.

"Bagi Selangor, program ini disasar mencatat nilai jualan berjumlah RM2.7 juta melibatkan 48 lokasi pasar tani sepanjang tempoh enam hari penganjuran," katanya dalam sidang media Semarak Syawal 1447@Pasar Tani Peringkat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata Pasar Tani Stadium Shah Alam dan Kelana Jaya merupakan antara lokasi tumpuan bagi penganjuran kerana kedua-dua lokasi itu menjadi pilihan orang ramai mendapatkan pelbagai barangan keperluan termasuk makanan segar dan produk kering.

Abdul Rashid berkata program itu membantu orang ramai membuat persediaan Syawal, menyediakan akses langsung kepada produk segar dan berkualiti, meningkatkan pendapatan usahawan dan petani serta menawarkan promosi istimewa dengan penjimatan.

“Pengunjung dapat menikmati harga berpatutan melalui jualan Agro MADANI dan jualan istimewa yang menawarkan produk segar terus daripada pengeluar manakala pasar tani pula berpeluang meningkatkan hasil jualan serta daya saing.

“Kita lihat seperti pada musim perayaan lain, permintaan biasanya meningkat namun setakat ini harga barangan masih stabil dan tidak menunjukkan kenaikan mendadak, manakala stok sedia ada juga diyakini cukup dan dapat bertahan dengan permintaan sehingga Aidilfitri nanti," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata pihaknya akan menganjurkan Karnival Mantai selama 24 jam bermula Selasa ini di Stadium Shah Alam bagi menawarkan daging lembu segar tempatan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau berkata sebanyak 10 tan daging lembu segar tempatan bersamaan 63 ekor akan dijual pada harga RM25 sekilogram berbanding RM30 pada harga sebelum diskaun.

Terdahulu, Abdul Rashid mengiringi Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Pengarah FAMA Selagor Isa Hamzah melawat sekitar pasar tani selepas menyempurnakan beberapa sesi 'Happy Hour' (barangan ditawarkan pada harga lebih rendah) membabitkan pelbagai produk termasuk keperluan asas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan