Oleh Habsah Ismail
TUMPAT, 16 Mac (Bernama) -- Dentingan logam yang bergema dari sebuah bengkel sederhana di Kampung Morak di sini menjadi saksi bisu ketekunan Mohd Ariffin Wok, 76, yang masih setia memartabatkan seni pertukangan perak tradisional sejak lebih lima dekad lepas.
Meskipun berdepan ujian fizikal akibat kecacatan pada kaki kiri sejak lahir, ia sedikitpun tidak menghalang lelaki yang lebih mesra disapa Pokwi itu daripada terus menghasilkan karya seni warisan bernilai tinggi seperti cokmar, keris perak, tepak sirih dan pelbagai perhiasan halus.
Dilahirkan pada 16 Nov 1949, anak jati Kampung Morak itu mula menceburi bidang pertukangan perak pada 1969 sebelum menghabiskan masa bertahun-tahun mengasah bakat sehingga bergelar pakar dalam seni logam berkenaan.
“Biarpun saya Orang Kurang Upaya (OKU), sudah lebih 50 tahun saya buat kerja ini. Sekitar 1970-an barangan perak memang popular dan banyak tukang terlibat dalam bidang ini tetapi sekarang semakin berkurangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pokwi berkata beliau menggunakan pelbagai teknik pertukangan perak seperti pahat pasir, pahat bunga, tebuk tembus dan pintalan untuk menghasilkan olahan motif flora seperti bunga raya, bunga ketumbit dan bunga tanjung dengan keunikan reka corak awan larat tunggal.
Kecekalan dan sumbangan dalam bidang kraf mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Adiguru Kraf oleh Kraftangan Malaysia pada 2024 dan sebelum itu, pada 2020 Pokwi menerima Anugerah Sanggar Mestika anjuran Majlis Kraf Malaysia.
Beliau berkata kebanyakan tukang perak masa kini lebih tertumpu menghasilkan cincin manakala kemahiran menghasilkan barangan perak halus seperti kerongsang dan peralatan tradisional semakin jarang kerana memerlukan ketelitian tinggi.
Pokwi berkata sebilah keris perak memerlukan kira-kira 500 gram perak manakala bahagian tertentu menggunakan kayu seperti kemuning atau senor selain proses pembuatan dilakukan secara tradisional melalui teknik melebur dan menipiskan logam itu sebelum diukir.
“Kerja menghasilkan barangan perak memerlukan ketelitian tinggi, terutama dalam proses ukiran serta mewarnakan permukaan logam menggunakan bahan krom emas bagi menaikkan seri perak.
“Kadangkala, satu bahagian sahaja mengambil masa sehari untuk disiapkan. Jika tersilap langkah, proses itu perlu dimulakan dari awal semula,” katanya, yang kini berdepan kekangan penglihatan akibat faktor usia serta masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar tahun lepas.
Di sebalik kepuasan berkarya, Pokwi tidak menafikan cabaran besar yang dihadapi susulan kenaikan mendadak harga perak mentah yang melonjak daripada sekitar RM3,000 sekilogram suatu ketika dahulu kepada RM14,000 hingga RM15,000 sekilogram hari ini.
Namun, demi kecintaan yang sudah sebati dalam diri, beliau tetap meneruskan rutin harian di bengkel memandangkan hasil tangannya sering menjadi buruan individu kenamaan dan institusi diraja.
“Sepanjang kerjaya, saya pernah menerima tempahan daripada Istana Negara untuk menghasilkan penutup dan pelapik gelas selain bekas nasi tradisional serta mangkuk tingkat khas,” kongsinya dengan nada bangga.
Enggan melihat seni warisan itu pupus ditelan zaman, Pokwi kini dibantu dua pekerja termasuk menantunya Adnan Ismail, 56.
Beliau menaruh harapan besar agar Adnan dapat menjadi pelapis yang mampu mewarisi segala ilmu dan kemahiran pertukangan perak tradisional itu agar ia terus kekal relevan buat tatapan generasi akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial