KUALA TERENGGANU, 16 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009 berhubung siasatan isu penyelewengan peruntukan Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) di Terengganu.
Menurut sumber, siasatan dijalankan selepas SPRM membuka kertas siasatan mengenai perkara berkenaan pada tahun lepas.
Kenyataan itu memaklumkan, setakat ini hasil siasatan mendapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak di bawah Akta SPRM 2009.
“Kertas siasatan telah dibuka tahun lepas dan SPRM mendapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan di bawah Akta SPRM 2009,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu penyelewengan peruntukan Sejati MADANI supaya tampil memberikan kerjasama.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menggesa SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan peruntukan bagi program berkenaan.
Beliau mendakwa menerima beberapa aduan berkaitan projek itu di Terengganu, yang mendakwa individu memegang jawatan politik di peringkat negeri telah melanggar amanah dengan menyelewengkan dana yang sepatutnya disalurkan kepada peserta berpendapatan rendah.
Program Sejati MADANI yang dilancarkan pada Mac 2024 bertujuan meningkatkan pembangunan sosioekonomi tempatan melalui dana sehingga RM100,000, memfokuskan sektor pertanian, penternakan, kraf tangan, dan pelancongan bagi mengupayakan komuniti di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial