EKONOMI

AirBorneo Pilih Boeing, Rancang Operasi Jet Serantau Ke KL, Singapura

16/03/2026 10:09 PM

KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- AirBorneo merancang melancarkan operasi jet serantau dari Kuching pada Julai ini menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 sebagai sebahagian daripada strategi memperluas rangkaian penerbangan syarikat itu di luar jaringan sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata syarikat penerbangan itu merancang memulakan perkhidmatan awal dari Kuching ke Kuala Lumpur, Singapura dan Kota Kinabalu.

Beliau berkata perkhidmatan itu akan diperkenalkan menggunakan tiga pesawat badan sempit menerusi kaedah pajakan basah, sementara syarikat melengkapkan kelulusan pengawalseliaan serta persiapan operasi yang diperlukan.

“Kami menyasarkan untuk memulakan operasi jet pada Julai, dengan Kuching berperanan sebagai hab utama bagi pesawat jet kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa AirBorneo bersama media di sini hari ini.

Megat Ardian Wira berkata pengenalan perkhidmatan jet itu menandakan fasa pertumbuhan seterusnya bagi syarikat penerbangan tersebut susulan pengambilalihan operasi MASwings Sdn Bhd pada awal tahun ini.

Beliau berkata Kota Kinabalu dan Miri akan terus berperanan sebagai hab pesawat turboprop bagi menyokong perkhidmatan kesalinghubungan luar bandar dan serantau syarikat penerbangan itu.

“Pengenalan operasi jet ini akan membolehkan kami meningkatkan kesalinghubungan serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang yang berulang-alik ke dan dari Sarawak,” katanya.

Megat Ardian Wira berkata AirBorneo kini bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia serta pihak berkepentingan lain bagi mendapatkan kelulusan laluan penerbangan dan slot lapangan terbang.

Beliau berkata persiapan juga sedang dijalankan meliputi perancangan rangkaian, operasi komersial serta pengalaman pelanggan bagi memastikan pelancaran perkhidmatan jet itu berjalan lancar.

Dalam perkembangan seterusnya, beliau berkata AirBorneo berhasrat memperluas rangkaian secara berperingkat dengan menambah lebih banyak destinasi serantau tiga bulan selepas operasi stabil, dengan sasaran menawarkan sehingga tiga destinasi domestik dan tiga destinasi antarabangsa menjelang akhir 2026, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan serta ketersediaan slot lapangan terbang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan