KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Dialog Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Dialog Chemicals Sdn Bhd (DCSB) dan Diyou PCR Sdn Bhd akan menjual pegangan ekuiti masing-masing sebanyak 51 peratus dan 49 peratus dalam Dialog Diyou PCR Sdn Bhd (DDPCR) kepada dua syarikat yang diuruskan oleh firma pengurusan pelaburan ekonomi kitaran Circulate Capital.
Dialog dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata DCSB dan Diyou PCR akan menerima RM1 daripada pembeli, Ocean Fund Holdings Pte Ltd dan Circulate Capital Ocean Fund I-B, yang akan turut membayar US$8.5 juta (kira-kira RM33 juta) secara langsung kepada DDPCR untuk membayar balik sepenuhnya pinjaman bank syarikat itu.
DDPCR yang terlibat terutama dalam pengeluaran, penjualan dan pemasaran pelet polietilena tereftalat (PET) kitar semula gred makanan, kini telah menghentikan operasi pengeluaran.
“(Ocean Fund Holdings Pte Ltd dan Circulate Capital Ocean Fund I-B) telah menyatakan minat untuk mengambil alih DDPCR, dan ini adalah masa yang sesuai untuk Dialog menjual pegangan dalam DDPCR bagi menyusun semula tumpuan strategik kepada perniagaan terasnya dalam sektor tenaga.
“Langkah ini sekali gus meletakkan Dialog pada kedudukan yang lebih kukuh bagi pertumbuhan dan daya tahan jangka panjang,” katanya.
Dialog berkata pertimbangan jualan itu adalah berdasarkan prinsip pembeli sanggup membeli dan penjual sanggup menjual selepas mengambil kira jumlah aset DDPCR yang telah diaudit sehingga 30 Jun 2025 sebanyak RM33.6 juta.
Kumpulan itu turut memaklumkan kos asal pelaburan DCSB dalam DDPCR berjumlah RM23.02 juta namun pelaburan itu telah dihapus kira sepenuhnya pada Februari 2025, menyebabkan tiada keuntungan atau kerugian direkodkan melainkan bayaran tunai sebanyak RM1 kepada Dialog.
Selepas penjualan itu, DDPCR tidak lagi menjadi syarikat usaha sama Dialog sebaik sahaja perubahan pegangan saham didaftarkan, yang dijangka selesai dalam tempoh 25 hari bekerja daripada tarikh perjanjian.
Dialog berkata penjualan itu tidak akan menjejaskan modal saham syarikat atau pegangan saham pemegang saham utamanya serta tidak memberi kesan penting kepada pendapatan, aset bersih atau tahap kadar hutang syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial