EKONOMI

Bursa Malaysia Tegur, Denda KAF IB Kerana Langgar Peraturan Penyenaraian Pasaran ACE

17/03/2026 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd memberi teguran secara terbuka dan denda sebanyak RM300,000 kepada KAF Investment Bank Bhd (KAF IB) kerana melanggar keperluan penyenaraian Pasaran ACE  (ACE LR) Bursa Malaysia Securities.

Bursa dalam satu kenyataan hari ini berkata KAF IB dalam kapasitinya sebagai penaja bagi pemohon yang ingin memasuki Pasaran ACE, telah gagal mematuhi beberapa peruntukan di bawah ACE LR. 

“KAB IB telah melanggar Peraturan 3.02(4) dan Peraturan 4.07(1) & (2) ACE LR kerana gagal membuat segala pertanyaan usaha wajar yang munasabah dan mempertimbangkan semua perkara berkaitan ketidakpatuhan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) dua kemudahan pembuatan teras yang dimiliki oleh pemohon dalam menilai kelayakan kemasukan pemohon kepada Pasaran ACE,” katanya. 

Bursa Malaysia berkata KAF IB juga melanggar Peraturan 2.18(1) kerana gagal memastikan pek perundingan pra-kemasukan dan draf prospektus yang dikemukakan berhubung cadangan penyenaraian adalah tepat, bebas daripada ketiadaan material dan tidak palsu atau mengelirukan melibatkan ketidakpatuhan tersebut. 

Katanya, ini termasuk kegagalan untuk mendedahkan ketidakpatuhan, selain maklumat bahawa pemohon sedang dalam proses mendapatkan CCC baharu atau yang disemak semula bagi dua kemudahan pembuatan terasnya. 

Oleh itu, KAF IB dikehendaki membentangkan keputusan itu kepada lembaga pengarahnya dan menyemak semula dasar, proses dan prosedur dalamannya yang berkaitan dengan peranannya sebagai penasihat serta penaja.

Menurut Bursa Malaysia Securities, tindakan tersebut diambil mengikut perenggan 16.19 ACE LR selepas mempertimbangkan semua fakta dan keadaan yang berkaitan. 

-- BERNAMA

 

ST


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan