JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Bebas Penyanyi Kelab Daripada Tuduhan Edar Kokain

18/03/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan penyanyi kelab berusia 29 tahun daripada pertuduhan mengedar kira-kira 400 gram kokain bersama-sama tiga individu lain pada 2023. 

Hakim Noor Ruwena Mohd Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Emily Leo pada akhir kes pendakwaan. 

Dalam penghakiman beliau, Noor Ruwena berkata walaupun pihak pendakwaan menyatakan dadah itu ditemukan di dalam rumah, mahkamah mendapati tiada bukti jelas yang mengaitkan tertuduh dengan bahan tersebut mahupun dia mempunyai kawalan terhadapnya. 

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh ketiga (Emily) manakala tiga lagi tertuduh diperintahkan untuk membela diri,” katanya. 

Emily yang direman sejak 2023 menangis selepas keputusan itu disampaikan. 

Wanita itu didakwa bersama-sama tiga lagi individu mengedar kira-kira 400 gram kokain di sebuah rumah di Brickfields di sini pada 23 Nov 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan. 

Emily diwakili peguam Sivahnanthan Ragava dan Cyrus Tiu Foo Woei manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan