AM

Aliran Trafik Semakin Sesak Selepas Berbuka, Kemalangan Di Rawang

18/03/2026 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama negara semakin padat selepas waktu berbuka puasa malam ini susulan peningkatan kenderaan yang memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan ketara dikesan di Plaza Tol Gombak dengan barisan kenderaan dilaporkan mencecah hingga ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) berhampiran Batu Caves.

“Bagi arah utara pula, keadaan trafik dari Rawang Selatan ke Bukit Beruntung dilaporkan hampir tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Menurutnya, kesesakan di laluan berkenaan turut disebabkan kemalangan di KM429.7 arah utara (Sungai Buaya ke Bukit Beruntung) yang menghalang lorong kecemasan.

Beberapa lagi lokasi kesesakan dikesan di laluan Gua Tempurung ke Gopeng, Bukit Berapit ke Changkat Jering serta Permatang Pauh ke Bertam bagi arah utara.

Bagi laluan ke selatan, trafik perlahan dari Sedenak ke Simpang Renggam, manakala bagi pengguna ke Pantai Timur aliran trafik perlahan dari Gombak ke Bukit Tinggi serta Lentang ke Bentong.

LLM menjangkakan aliran trafik akan terus meningkat hingga awal pagi esok berikutan pertambahan pergerakan kenderaan sempena Aidilfitri.

“Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan pihak konsesi serta memastikan mendapat rehat mencukupi sebelum memulakan pemanduan,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan CCTV trafik di laman web rasmi agensi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan