AM

Jemaah Menteri Zahir Ucapan Selamat Menyambut Perayaan Ugadi

19/03/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini berkongsi ucapan sempena perayaan Ugadi dan menggesa masyarakat majmuk di negara ini terus memperkukuh perpaduan serta keharmonian.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata perayaan Ugadi bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu, tetapi turut melambangkan harapan baharu, pembaharuan serta lembaran kehidupan yang lebih segar dan bermakna.

“Marilah kita sama-sama menghargai nilai tradisi yang diwarisi, sambil memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk negara kita.

“Semoga sambutan Ugadi kali ini membawa kesejahteraan, kemakmuran dan kebahagiaan berpanjangan kepada semua,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, hari ini.

Turut  mengucapkan selamat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, yang menzahirkan ucapan selamat menyambut perayaan Ugadi dan tahun baharu kepada semua sahabat Telugu.

Ugadi menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar lunisolar Hindu dan disambut dengan penuh kegembiraan oleh komuniti yang meraikannya.

Perkataan Ugadi berasal daripada gabungan perkataan Sanskrit, Yuga yang bermaksud zaman dan Adi   bermaksud permulaan dan sambutan ini diraikan khususnya masyarakat di India Selatan seperti Andhra Pradesh, Telangana dan Karnataka.

Di Malaysia, kira-kira 500,000 komuniti Telugu meraikan perayaan Ugadi sebagai permulaan tahun baharu yang membawa harapan, pembaharuan dan keberkatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan