JENAYAH & MAHKAMAH

Tindakan Gari Zamri Vinoth Ikut Undang-undang - KPN

19/03/2026 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menjelaskan bahawa tindakan membawa pendakwah bebas Zamri Vinoth ke mahkamah dalam keadaan bergari pada Selasa lepas dilaksanakan mengikut prosedur serta lunas undang-undang sedia ada.

Beliau berkata tangkapan awal terhadap Zamri adalah melibatkan kes mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, selain turut disiasat mengikut Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur berbeza.   

“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza. Ada yang boleh dijamin dan ada yang tidak, terutama pada fasa awal tangkapan melibatkan empat kes di Putrajaya, di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, terdapat juga kes di bawah Akta Hasutan yang memerlukan tindakan prosedur berlainan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata perbezaan tindakan itu mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam, namun memberi jaminan semua proses dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan merupakan amalan biasa dalam sistem perundangan negara.

Selasa lepas, Zamri dan aktivis Arun Dorasamy antara tiga individu yang dihadapkan ke mahkamah di beberapa negeri atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam.

Zamri, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Arun atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy, 56, pula dituduh di Mahkamah Majistret Jawi manakala pemandu e-hailing P Mahendra Bhoopaty, 53, di Mahkamah Majistret Seremban.

Bagaimanapun, Zamri dan Arun mengaku tidak bersalah, manakala Mahendra Bhoopaty didenda RM4,000 atau dipenjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa. 

Mengulas mengenai keberadaan aktivis Tamim Dahri, Mohd Khalid berkata pihaknya mempunyai maklumat beliau berada di Tanah Suci dan tindakan pendakwaan telah dibuat.

“Bila sampai masanya (beliau pulang), kita akan ambil tindakan terhadap beliau," katanya.

Isnin lepas, Mohd Khalid memaklumkan Tamim akan dituduh di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan “soolam”, simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan