AM

JPJ Perlis Keluarkan 282 Saman Kepada Kenderaan Asing Atas Pelbagai Kesalahan

19/03/2026 08:39 PM

ARAU, 19 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengeluarkan 282 saman terhadap kenderaan asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di Padang Besar sejak Januari sehingga semalam.

Pengarah JPJ Perlis Noraini Mohd Nawi berkata pelaksanaan penguatkuasaan itu menerusi beberapa siri operasi termasuk di Pintu Masuk dan Keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar semalam yang melibatkan pemeriksaan ke atas kenderaan asing.

“Sebanyak 282 saman telah dikeluarkan di bawah JPJ(P) 22 melibatkan pelbagai kesalahan, iaitu pelesenan pemandu 71 saman, pelesenan kenderaan (70), teknikal (58), cermin gelap (30) dan lain-lain kesalahan (53),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata berdasarkan rekod keseluruhan dari 2025 hingga kini, sebanyak enam kenderaan asing telah disita manakala sebuah van dari Thailand dilucuthak untuk dilupuskan.

Beliau berkata penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan, terutama menjelang sambutan Aidilfitri susulan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki negara melalui pintu sempadan.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap kenderaan asing yang tidak mempunyai Permit Edaran Antarabangsa (ICP) serta berada melebihi jarak dua kilometer dari sempadan negara atau mempunyai tunggakan saman, terutama kenderaan Thailand yang memasuki negara ini dari pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan