PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Keterujaan menanti penentuan tarikh Aidilfitri dapat dirasai dengan lebih bermakna apabila orang ramai berpeluang menyertai sendiri proses cerapan anak bulan, berbanding sekadar menunggu pengumuman di televisyen.
Khairul Imran, 33, berkata pengalaman menyaksikan sendiri cerapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) memberikan perasaan yang berbeza.
"Sebelum ini, kita hanya tunggu pengumuman di televisyen, tetapi apabila datang sendiri (menyaksikan cerapan), perasaan itu berbeza. Lebih teruja sebab dapat tunggu secara masa nyata sama ada hari raya jatuh pada Jumaat atau Sabtu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Khairul berkata walaupun ini bukan kali pertama dia menyertai aktiviti cerapan, kunjungan ke PICC bersama-sama isterinya yang baru menyertai program astronomi menjadikan pengalaman itu lebih bermakna, sekali gus dapat meningkatkan minat masyarakat terhadap bidang astronomi.
Fazril Amin, 31, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk hadir ke PICC setiap tahun bagi menyaksikan sendiri proses cerapan anak bulan.
"Setiap tahun saya akan datang ke PICC untuk tengok cerapan hilal Syawal. Kita nak merasai sendiri kaedah yang digunakan, sama ada melalui hisab ataupun rukyah … hisab kita boleh kira, rukyah kita perlu tenok sendiri, walaupun ada pengiraan modem, kita masih perlu lihat di lapangan," katanya.
Fazril berkata pengalaman turun ke lapangan setiap tahun turut memberikan kepuasan tersendiri serta meningkatkan minat terhadap ilmu falak dan astronomi.
"Ia menjadi satu curiosity dan keseronokan untuk lihat sendiri. Kita pernah mengalami situasi perubahan tarikh raya walaupun kiraan awal menunjukkan sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin meluahkan keterujaan apabila berpeluang menyaksikan sendiri proses cerapan anak bulan buat kali pertama, yang disifatkan sebagai pengalaman bermakna dan membuka perspektif baharu.
Beliau berkata pendedahan secara langsung itu memberikan kefahaman lebih jelas mengenai kaedah melihat anak bulan menggunakan peralatan moden.
"Pertama kali saya diberi pendedahan mengenai cara melihat anak bulan dan saya rasa sangat gembira dapat melihat proses mencerap anak bulan yang dilihat melalui alat-alat canggih terkini yang disediakan," katanya.
Ahli jawatankuasa rukyah Datuk Dr Azhari Mohamed berkata Malaysia merupakan antara negara yang unik dalam penentuan kalendar Islam apabila menggabungkan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan tiga bulan utama iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
Beliau berkata pendekatan tersebut mencerminkan keseimbangan antara pematuhan kepada hukum syariah dengan penggunaan sains astronomi dalam penentuan awal bulan Hijrah.
"Kita menggabungkan kedua-dua elemen, iaitu mematuhi hukum syariah dan dalam masa sama tidak membelakangkan sains astronomi. Itulah keunikan Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tugas dalam bidang falak tetap memberikan keterujaan walaupun telah lebih 30 tahun terlibat, khususnya dalam usaha menambah baik teknologi dan kaedah cerapan.
"Cabaran utama adalah untuk meningkatkan teknologi penglihatan hilal dan teknik kiraan. Setiap tahun kita kumpul data untuk menilai dan menambah baik kriteria serta peralatan yang digunakan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial