AM

Anwar, Modi Bincang Perkembangan Terkini Asia Barat

19/03/2026 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berhubung dengan Perdana Menteri India Narendra Modi bagi membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau berkongsi pendirian tegas dan konsisten Malaysia dalam mengutuk pengeboman oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat.

"Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beliau dan Modi sepakat menyeru agar pertempuran segera dihentikan dan usaha digembleng untuk menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog sihat.

Anwar berkata mereka turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.

Beliau berkata kerjasama padu itu menjadi semakin mendesak ketika dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan.

“Insya-Allah, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam bersama demi keamanan sejagat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan