AM

Cuaca Panas: Sultan Pahang Nasihat Berjaga-jaga, Jangan Buat Pembakaran Terbuka

23/03/2026 07:04 PM

KUANTAN, 23 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat meningkatkan langkah berjaga-jaga serta tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda bertitah keadaan cuaca semasa menuntut perhatian serius berikutan peningkatan suhu dan risiko kebakaran dalam keadaan persekitaran kering.

“Rakyat dinasihatkan sentiasa memastikan pengambilan air yang mencukupi, mengurangkan aktiviti luar pada tengah hari dan mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah menitahkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka termasuk membakar sampah, daun kering atau sisa kebun yang boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal serta menjejaskan kualiti udara.

“Amalan membakar sampah secara terbuka bukan sahaja berbahaya malah boleh menyebabkan jerebu dan menjejaskan kesihatan orang ramai. Rakyat hendaklah lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

“Kita semua perlu berwaspada dan bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan negeri sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar larangan pembakaran terbuka.

“Rakyat disarankan melaporkan kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa dengan segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk,” titah baginda.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan