EKONOMI

Makin Jadi Pilihan Pembasah Tekak, Kombucha Bukti Peralihan Trend Minuman

25/03/2026 12:56 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Sewaktu penulis bergelar pelajar sekolah menengah sekitar 2013, teh kombucha masih terlalu asing sebagai minuman, malah tenggelam berbanding minuman kopi yang lebih digemari ramai sebagai pembasah tekak pilihan.

Jika disebut minuman kombucha yang dihasilkan menerusi proses penapaian sejenis cendawan dan kaya kandungan bakteria baik, ramai yang lebih merujuknya sebagai minuman berfungsi atau khusus bagi tujuan kesihatan selain cirinya yang masam.

Namun, menjelang 2015-2016, kombucha yang sebelum ini hanya berpindah tangan melalui pesanan khas, mulai memenuhi rak pasar raya utama atau besar, sekali gus menjadi industri yang mencecah nilai berbilion dolar.

Mengikut laporan industri terkini, nilai pasaran minuman ‘berfungsi’ atau khusus global dijangka mencecah US$248 bilion (RM1.04 trilion) menjelang 2030 dengan segmen kombucha diunjur mencapai US$9 bilion dalam tempoh sama.

Sejak itu, kombucha menjadi pemain utama dalam pasaran minuman berfungsi, diterima kerana kandungan gulanya yang rendah, kaya dengan probiotik serta membantu kesihatan usus dan pencernaan yang lebih baik.

Adrina Suhaimi, 26, mula mengambil teh kombucha pada awal usia dewasanya selepas terpengaruh dengan rakan sebaya lain dan masih meneruskan usaha itu atas alasan khasiat kesihatan.

Bagi penuntut sarjana ini, beliau sukakan rasa masam serta “segar” selain menyedari kesan baik terhadap penghadamanan yang membantu menurunkan berat badan.

“Mungkin kesannya terhadap usus dan membantu menurunkan berat badan itulah yang menyebabkan saya memilih minuman ini,” katanya kepada Bernama.

Teh kombucha itu akan menjadi pilihannya setiap kali mahukan alternatif lebih sihat dalam pemakanan walaupun perlu membelanjakan sekitar RM10 hingga RM15 sebotol.

 

Pilihan sihat 

Joseph Poh yang juga pengasas merangkap ketua pegawai eksekutif jenama kombucha tempatan WonderBrew, berkata kombucha menjadi alternatif lebih sihat berbanding minuman ringan berkarbonat lain.

Kombucha juga ternyata amat popular dalam kalangan wanita daripada peringkat remaja hingga dewasa.

“Minuman yang kami keluarkan sama ada kombucha atau teh sebagai produk yang mendapat tarikan pasaran massa atau untuk mereka yang sentiasa sibuk dan mahukan minuman yang memberi manfaat kepada usus. Majoriti pelanggan kami adalah wanita.

“Sasaran kami adalah generasi muda dalam lingkungan 18-45 tahun. Kebanyakan mereka membeli produk ini daripada pasar raya dan kami sememangnya menyasarkan pasaran massa ini,” katanya.

Tidak hairanlah, WonderBrew baru-baru ini melakar kejayaan di acara World Kombucha Awards 2025 apabila muncul antara pemenang utama dengan meraih satu anugerah emas, empat perak dan satu gangsa merentasi kategori cita rasa dan reka bentuk.

Poh berkata kejayaan itu hanya mengukuhkan lagi matlamat jenama itu untuk menggalakkan lagi gaya hidup yang mementingkan kesihatan usus dalam kalangan rakyat negara ini.

“Kami berharap lebih banyak lagi jenama Malaysia dapat menembusi pasaran global. Apabila ini ketara, pastinya dapat menyuntik keyakinan orang ramai untuk mencuba jenama kombucha tempatan,” katanya.

 

Pengganti minuman tinggi gula 

Pensyarah Kanan Sains Makanan dan Pemakanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan Universiti Malaysia Sabah, Dr Mohd Nazri Abdul Rahman memberitahu Bernama, peningkatan pengambilan minuman kombucha turut mencerminkan perubahan pilihan minuman serta trend kesejahteraan yang lebih meluas.

Bagi segelintir pengguna, peningkatan ketersediaan kombucha itu dilihat telah menggantikan minuman berkarbonat tinggi gula, terutama apabila memilih formulasi dengan kandungan gula lebih rendah.

“Pilihan sedemikian berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan sederhana dalam kualiti diet dan sejajar dengan objektif kesihatan awam yang bertujuan mengurangkan lagi pengambilan gula tambahan serta mengekang pendedahan kepada alkohol.

“Trend ini turut menyemarakkan minat lebih meluas dalam makanan yang melalui proses penapaian dan khasiat berkaitan mikrob serta berpotensi mengembangkan lagi kepelbagaian pemakanan serta pilihan minuman bukan tradisional,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nazri mengingatkan mengenai segelintir pemasaran yang menumpukan aspek kesejahteraan dan seringkali memperbesarkan manfaat.

“Variasi produk seperti kandungan gula, keasidan, komposisi mikrob dan sisa etanol hanya menyukarkan pengguna memberi takrifan sebenar terhadap dakwaan kesihatan. Tidak semua kombucha yang dijual secara komersial itu sejajar dengan imej sihat yang dipaparkan dalam usaha pemasaran,” katanya.

Oleh itu, walaupun kombucha boleh menyokong pilihan minuman yang lebih sihat dari segi keutamaan produk rendah gula dan dikawal, ini juga berisiko menyebarkan maklumat salah.

Dari perspektif kesihatan awam, beliau berkata panduan perlu menekankan pengambilan berdasarkan bukti, literasi label serta menjadikan kombucha dalam diet seimbang dan bukannya menganggapnya sebagai intervensi terapeutik.

 

Prospek kombucha di Malaysia

Mengulas prospek, Mohd Nazri percaya industri kombucha di Malaysia berpotensi untuk berkembang, didorong oleh peningkatan minat pengguna terhadap minuman khusus berorientasikan kesihatan dan halal.

Pembangunan masa depan berkemungkinan menumpukan aspek kawalan alkohol, inovasi produk, penambahbaikan fungsi dan pengkomersialan.

“Pematuhan terhadap sijil halal, had kandungan alkohol dan peraturan keselamatan makanan adalah penting untuk tujuan pertumbuhan.

“Fokus Malaysia terhadap pemantauan tahap alkohol, jaminan kualiti dan pengesahan pihak ketiga meletakkan industri kombucha negara ini dalam kedudukan memenuhi permintaan domestik dan serantau, terutama di Asia Tenggara yang menyaksikan minat yang semakin ketara terhadap minuman halal dan berfungsi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan masa depan industri kombucha Malaysia bergantung kepada inovasi saintifik, pematuhan peraturan dan pembangunan produk yang menumpukan pengguna.

Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Tradeview Research, Tan Jia Hui berkata aspek pematuhan peraturan, terutama yang ada kaitan dengan tahap kandungan alkohol dan pertimbangan halal, akan membentuk landskap persaingan bagi minuman itu.

“Penetapan harga juga kekal menjadi kekangan memandangkan kedudukan premium kombucha berbanding minuman lain di pasaran massa, khususnya dalam lingkungan yang peka terhadap kos,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pasaran kombucha Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dijangka mencatat pertumbuhan dua angka dan berterusan apabila beralih daripada minuman khusus bagi tujuan kesejahteraan kepada kategori minuman berfungsi.

Pengembangan itu, kata Tan, akan turut disokong oleh peningkatan kesedaran pengguna mengenai kesihatan usus, peningkatan pilihan terhadap minuman rendah gula dan proses penapaian secara semula jadi serta peralihan lebih meluas daripada minuman ringan berkarbonat tradisional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan