JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Tolak Kemasukan Tujuh Warga Asing Di Bukit Kayu Hitam

25/03/2026 12:18 PM

BUKIT KAYU HITAM, 25 Mac ( Bernama) -- Tujuh warga asing ditolak kemasukan ke negara ini selepas gagal mematuhi syarat ditetapkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam. 

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasarudin Md Nasir berkata seorang wanita Kemboja berusia 30-an ditolak kemasukan pada 11.30 pagi selepas didapati memberikan maklumat perjalanan meragukan serta tidak konsisten. 

Beliau berkata sekitar 11 malam pula, tindakan sama diambil terhadap enam lelaki dari India berusia 40-an selepas gagal mengemukakan tujuan perjalanan yang sahih kepada pegawai Imigresen bertugas. 

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati mereka memiliki tiket penerbangan yang tidak sah selain cuba mengelirukan pegawai bertugas dengan mendakwa saling tidak mengenali antara satu sama lain.

"Bagaimanapun siasatan mendapati kesemua individu terbabit mempunyai tiket penerbangan dengan tarikh dan masa yang sama," katanya di sini hari ini.

Mohd Nasarudin berkata kesemua mereka dikeluarkan Notis Penolakan Masuk selaras dengan undang-undang Imigresen sebelum tindakan lanjut diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang gagal mematuhi syarat kemasukan ke negara ini bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan