JOHOR BAHRU, 25 Mac (Bernama) -- Polis Johor menahan dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun berhubung kebakaran sebuah gerai menjual mercun dan sebuah lori makanan di Majidee pada 23 Mac lepas.
Timbalan Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada generator yang digunakan oleh seorang suspek di gerai menjual mercun miliknya.
Beliau berkata kebakaran kemudiannya merebak ke gerai mercun suspek sehingga keseluruhan stok terbakar dan meletup, yang turut menyebabkan sebuah lori yang diparkir bersebelahan turut musnah.
“Anggaran nilai kerosakan dalam kejadian ini lebih kurang RM50,000.00. Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan tiada kehilangan nyawa ataupun kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di IPK Johor, hari ini.
Bertindak atas maklumat, beliau berkata polis menahan seorang suspek di Kulai pada 11.15 pagi, 25 Mac.
Susulan itu, seorang lagi suspek ditahan di Kampung Melayu Majidee pada 12.30 tengah hari pada hari yang sama.
Semakan mendapati seorang daripada suspek memiliki lesen sah untuk menjual, memiliki dan membeli mercun. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara hingga enam bulan, denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan.
Dalam pada itu, Hoo memaklumkan sebanyak 66 laporan polis diterima oleh pihaknya setakat awal Ramadan sehingga kini membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan mercun.
Sebarang maklumat jenayah boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau talian hotline Polis Johor 019-2792095, atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2212999.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial